KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menjelaskan bahawa penjaja yang melakukan provokasi ke atas penguatkuasanya di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) tidak mempunyai lesen selain mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.
Kejadian yang berlaku kira-kira jam 12.15 tengah malam pada Isnin hingga tular di media sosial itu bagaimanapun tidak menyebabkan tindakan sitaan seperti didakwa di media sosial.
Jurucakap DBKL berkata, peniaga tidak berlesen tersebut telah kerap kali berniaga di lokasi terbabit yang menempatkan peniaga berlesen.
"Apabila melihat kelibat penguat kuasa (DBKL) mereka lari, persoalannya kenapa tidak mohon lesen yang sekarang ini diberikan kepada warga tempatan.
"Antara kegagalan peniaga tersebut adalah tiada lesen atau permit sementara, tiada langkah-langkah keselamatan dibuat selain tiada penjarakan sosial (ingkar SOP)," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Tambahnya, kecaman netizen membuatkan DBKL tersepit.
Menurutnya, dalam situasi ini, pihaknya akan dipersalahkan sekiranya mengambil tindakan dan tetap dikecam jika tidak mengambil tindakan.
"Kalau kami (DBKL) ambil tindakan, dikatakan kami zalim. Sekiranya berlaku kluster Covid-19 di situ, penguat kuasa juga akan dipersalahkan," katanya.
Pada Selasa, DBKL dalam kenyataan memaklumkan satu laporan polis telah dibuat berhubung insiden terbabit.
Dalam kejadian terbabit, peniaga tanpa kebenaran itu telah dinasihati dan diminta untuk beredar.
Bagaimanapun, peniaga berkenaan enggan beredar, malah mula membuat provokasi dan mengeluarkan kata kesat terhadap anggota bertugas.
Tindakan mereka berniaga di situ menjejaskan peniaga lain yang sudah mempunyai lesen untuk menjual di lokasi sama, selain pelanggaran SOP Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bakal mengundang pelbagai masalah.