Bot karam akibat ribut, dua nelayan hilang

Iklan
Gambar hiasan.

LUMUT - Dua nelayan warga Myanmar dikhuatiri hilang selepas bot dinaiki dilaporkan karam dalam kejadian ribut di perairan Pantai Remis di sini pada Selasa.

Mangsa yang bekerja di atas bot nelayan tempatan itu disedari hilang selepas majikan gagal menghubungi mereka kira-kira jam 8.30 malam sebelum melaporkan kepada polis.

Iklan
Iklan

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Perak, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) diaktifkan selepas menerima laporan tersebut pada jam 12.35 tengah malam.

"Berdasarkan maklumat, bot mangsa antara empat bot nelayan kelas B yang dilaporkan karam akibat dilanda ribut ketika keluar menangkap ikan.

Iklan

"Bagaimanapun hanya dua kru daripada sebuah bot berkenaan dikhuatiri hilang manakala kru bagi tiga bot lain dilaporkan selamat," katanya di sini pada Rabu.

Menurutnya, Bot Perkasa 1223 dan Kapal Maritim Nyalau digerakkan ke lokasi kejadian.

Iklan

"Jumlah sebenar mangsa terlibat masih dalam siasatan berikutan bot-bot tersebut dimiliki tiga majikan berbeza yang berpangkalan di Pantai Remis," katanya.