SHAH ALAM - EB Frozen Food Sdn Bhd terus menghargai jasa dan peranan anggota barisan hadapan melalui sumbangan kepada pihak tersebut menerusi program Singgah Sinar Iftar 1-Meter di Balai Bomba Seksyen 15 di sini pada Isnin.
Eksekutif Pemasaran EB Frozen Food, Long Tian Hong berkata, kerjasama pihaknya bersama Sinar Harian untuk kali ketiga membuktikan usaha melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) bukan hangat-hangat tahi ayam.
Tian Hong berharap program itu dapat diteruskan supaya orang ramai menghargai jasa anggota barisan hadapan termasuk bomba yang banyak berkorban ketika menjalankan tugas mereka.
"Kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Sinar Harian kerana menjayakan program ini.
"Jika diberi peluang, pihak kami akan menyertai program sebegini pada masa akan datang dan bekerjasama dengan Sinar Harian untuk menjayakan program sama,” katanya kepada Sinar Harian.
Menerusi program tersebut, sebanyak 50 pek makanan berbuka puasa dan beg barangan produk sejuk beku EB Frozen bernilai sekitar RM70 disumbangkan kepada anggota bomba.
Turut hadir, Pengurus Tugas-Tugas Khas Kumpulan Karangkraf, Hashim Anang.
Dalam pada itu, Timbalan Ketua Balai Bomba Seksyen 15, Shah Alam, Muhamad Fadeli Abu Sirin berkata, penganjuran program itu amat bermakna kerana dapat mengeratkan silaturahim dan sokongan moral kepada mereka sepanjang Ramadan.
"Operasi kebakaran ketika Ramadan dan bulan lain tiada bezanya kerana anggota kami perlu sentiasa bersedia setiap masa untuk bergegas ke lokasi kebakaran.
"Cuma kami perlu menahan lapar dan dahaga ketika menjalankan tugas kami yang berat,” katanya.