KOTA BHARU - Seorang pengusaha 'ikan bekok' (ikan bengkak) meraih pendapatan berganda dan tidak menang tangan apabila permintaan pelanggan terhadap hidangan pembuka selera itu terus meningkat sepanjang Ramadan kali ini.
Nor Azreena Mohd Nor, 37, mengusahakan ikan bekok sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu, bermula sekitar 50 kilogram (kg) sebulan, permintaan terus meningkat mencecah 150 kg pada Ramadan kali ini.
Katanya idea untuk membuat ikan bekok tersebut tercetus, setelah beliau memikirkan cara untuk meningkatkan pendapatan keluarga dalam tempoh pandemik Covid-19.
"Tak sangka pula mendapat sambutan berganda berbanding sebelum ini, proses hanya 50 kg ikan sahaja purata sebulan.
"Pada bulan puasa seperti sekarang, pelanggan gemar makan ikan bekok untuk berbuka, malah ia membuka selera ketika bersahur, kerana ada kecapan rasa masin, lemak ditambah pula adanya bawang dan cili goreng serta perahan asam limau,” katanya ketika ditemui di gerai Ikan Bekok Kadok di Kampung Berangan Jalan Kota Bharu-Ketereh, di sini.
Bercerita lanjut, Nor Azreena untuk menyediakan ikan bekok tersebut, beliau mempunyai dua cawangan iaitu di Kadok dan Tanah Merah, dibantu tujuh pekerja untuk menyiang ikan segar dengan membelah perut, kemudian ikan itu direndam di dalam air garam semalaman.
"Pada keesokan hari, air garam tadi dibuang dan ikan kemudian direndam ke dalam air biasa selama empat jam untuk menghilangkan rasa masin berlebihan. Selepas itu barulah dijemur selama tiga hingga lima jam, bergantung kepada tahap cuaca panas.
"Sebaik sahaja ikan ini dijemur mengikut tempohnya, kita perlu angkat dan terus dimasukkan ke dalam peti, bagi membolehkan penyimpanan lebih lama sehingga tiga minggu,” katanya yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan Universiti Islam Antarabangsa (UIA).
Nor Azreena berkata, bekalan ikan segar diambil daripada pembekal di Tok Bali, Pasir Puteh Geting, Tumpat, Jelawat dan Bachok.
"Antara jenis ikan bekok yang dihasilkan termasuk gelama bongkok, gelama gigi, cencaru, layur, talang, selar kuning dan 'butir nako', manakala ikan kering seperti tambang, pari, pelata serta bulu ayam, yang dijual dari harga RM18 hingga RM45 sekilogram bergantung kepada jenis ikan.
Nor Azreena berkata, ikan bekok tersebut juga mendapat permintaan untuk dipasarkan ke luar negara seperti United Kingdom dan Arab Saudi, namun beliau terpaksa menangguhkan atas beberapa kekangan seperti kos penghantaran, ketahanan ikan serta pembungkusan, bagi memastikan ia dihantar berada dalam keadaan baik.
"Walau bagaimanapun, untuk memenuhi permintaan pelanggan yang ingin mendapatkan ikan bekok di luar Kelantan, sehingga kini saya mempunyai 20 hingga 30 ejen dari seluruh negara,” kata ibu kepada tujuh anak dan mendapat sokongan suami Muhammad Ai'Amin Mohamad Kasim, 37, yang bekerja sebagai kakitangan awam.
Sementara itu seorang pelanggan, Tuan Jusoh Tuan Dollah, 50, yang berasal dari Pasir Puteh berkata, sejak puasa beliau sudah beberapa kali membeli ikan bekok di situ, kerana gemarkan aroma dan rasanya yang boleh membuka selera.
"Ikan bekok ini adalah makanan tradisi sejak dulu, dan biasanya orang berpuasa kurang berselera terutama waktu dinihari ketika sahur, tetapi apabila ada ikan bekok yang digoreng panas-panas, ia menambah kenikmatan semasa makan,” katanya. - Bernama