Maritim perketat kawalan perairan negara menjelang Aidilfitri

Iklan
Khairun Dalilah (tiga dari kiri) bersama pegawai dan anggota Maritim Malaysia Kelantan semasa melakukan rondaan di perairan Kelantan menggunakan Kapal Maritim (KM) Amanah pada malam Selasa.

PASIR PUTEH - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan akan memperketatkan lagi kawalan perairan negara menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

Timbalan Pengarah Operasi Maritim Kelantan, Komander Maritim Khairun Dalilah Baharin berkata, kawalan itu diperketat menerusi Op Khas Pagar Laut yang bermula pada 3 Mei lalu.

Iklan
Iklan

"Maritim Malaysia Kelantan akan pastikan sekurang-kurangnya 70 peratus anggota dapat digerakkan dalam satu-satu masa untuk membantu pengoperasian semasa sambutan Aidilfitri nanti.

"Setiap hari sebuah kapal dan bot akan ditugaskan untuk membuat rondaan rutin termasuklah semasa sambutan Aidilfitri bagi memastikan kawalan perairan negara sentiasa ketat," katanya kepada pemberita semasa melakukan rondaan di perairan Kelantan menggunakan Kapal Maritim (KM) Amanah pada malam Selasa.

Iklan

Beliau berkata, kebiasaannya menjelang sambutan Aidilfitri aktiviti jenayah rentas sempadan di perairan negara seperti penyeludupan mercun dan bunga api akan meningkat.

Khairun Dalilah berkata, Maritim Malaysia Kelantan akan melaksanakan penggiliran tugasan kawalan bagi memastikan pemantauan berjalan lancar.

Iklan

Katanya, Maritim Malaysia juga akan menambah aset-aset sekali gus memperkukuhkan lagi kawalan perairan negara.

"Saya merayu kepada komuniti nelayan atau maritim untuk menyalurkan maklumat sekiranya mengesan pergerakan bot yang mencurigakan di perairan negara," katanya.