BDB sumbang RM12,000 bantu keluarga kurang berkemampuan

Iklan
Sebahagian penerima sumbangan di Surau Al Ikhwan, Taman Sri Mentaloon.

ALOR SETAR – Kumpulan Bina Darulaman Berhad (BDB) meneruskan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan menyalurkan sumbangan kepada empat buah masjid dan surau di sekitar daerah Alor Setar dan Kubang Pasu sempena bulan Ramadan dan Syawal yang bakal menjelang.

Ketua Komunikasi Korporat Kumpulan BDB, Sajahan Abdul Waheed berkata, sumbangan berjumlah RM12,000 itu disalurkan dalam bentuk wang tunai dan juga pek barangan keperluan kepada Masjid Nagore, Masjid At-Taqwa dan Surau Al-Ikhwan di Taman Sri Mentaloon, Alor Setar serta Masjid Nurul Iman, Kampung Bukit Tinggi di Kubang Pasu.

Iklan
Iklan

Katanya, setiap masjid dan surau menerima sumbangan wang tunai berjumlah RM8,000 serta pek barangan keperluan yang terdiri daripada beras, minyak masak, gula dan tepung bernilai RM4,000.

"Sumbangan ini kemudiannya disalurkan kepada 80 penerima yang terdiri daripada golongan kurang berkemampuan," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Iklan

Menurutnya, Kumpulan BDB melahirkan kesyukuran apabila dapat meneruskan inisiatif CSR tersebut kepada komuniti di negeri Kedah yang sememangnya merupakan salah satu tunjang utama syarikat.

Sajahan Abdul Waheed

"Sebagai anak syarikat kerajaan negeri, Kumpulan BDB sememangnya komited dalam membantu masyarakat yang terkesan dan terhimpit dengan keadaan ekonomi yang mencabar terutamanya ketika pandemik Covid-19 melanda negara.

Iklan

"Kami sentiasa berusaha supaya dapat turun padang dan menyantuni golongan yang kurang berkemampuan dan juga asnaf sama ada melalui bantuan zakat mahupun CSR seperti ini," katanya.

Sajahan berkata, beliau berharap sumbangan yang disalurkan itu dapat meringankan beban para penerima untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini.

"Bagi Kumpulan BDB, inisiatif seperti ini tidak akan terhenti di sini sahaja memandangkan syarikat telah merangka pelbagai program CSR yang akan dijayakan sepanjang tahun ini.

"Insya -ALLAH kami akan berusaha bersama-sama kerajaan dalam membantu rakyat yang memerlukan di negeri ini," katanya.

Antara pek barangan yang disumbangkan oleh Kumpulan BDB kepada empat masjid dan surau di Kota Setar dan Kubang Pasu.