Penggunaan dana KWAN percepat program imunisasi

Iklan
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR - Keputusan kerajaan untuk menggunakan dana Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) sebanyak RM5 bilion dapat mempercepatkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan melalui pemberian vaksin yang lebih besar dan menyeluruh.

Pengarah Belanjawan Negara, Datuk Johan Mahmood Merican berkata, antara sebab peningkatan kos perolehan vaksin berbanding peruntukan sebanyak RM3 bilion dalam pembentangan Belanjawan 2021 setelah mengambil kira keadaan ekonomi negara dan peningkatan kes Covid-19.

Iklan
Iklan

"Adalah sangat penting untuk negara mencapai imunisasi kelompok. Oleh itu, kerajaan telah mengumumkan untuk menyegerakan pelaksanaan supaya program imunisasi dapat diselesaikan menjelang hujung tahun 2021.

"Keputusan itu telah meningkatkan kos dalam pelbagai aspek. Satu isu yang dihadapi bukan sahaja Malaysia, tetapi juga negara lain iaitu untuk mendapatkan ketetapan pembekalan kerana terdapat ketidaktentuan bila vaksin akan sampai," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu program Ruang Bicara bertajuk"KWAN: Menjamin Masa Depan Malaysia Menerusi Vaksin Covid-19" terbitan Bernama TV di sini malam Selasa.

Setakat 30 Disember 2020, dana terkumpul KWAN adalah sebanyak RM19.5 bilion.

Iklan

Antara faktor lain yang meningkatkan kos pembekalan vaksin adalah keputusan kerajaan menyumberluar program vaksinasi kepada hospital swasta yang melibatkan kos sebanyak RM200 juta, katanya.

Johan turut menolak tanggapan perolehan vaksin yang lambat berbanding dengan negara maju.

"Malaysia adalah negara membangun, tidak di landasan yang sama dengan negara maju yang menggunakan kelebihan mereka untuk mendapatkan pembekalannya lebih awal serta pengaruh mereka kepada syarikat farmaseutikal.

"Kerajaan juga telah mendapatkan bekalan dalam tempoh masa yang munasabah," kata Johan.

Beliau berkata, dana KWAN yang digunakan oleh kerajaan bagi pembekalan vaksinasi Covid-19 adalah secara geran dan keperluan menggunakan dana tersebut adalah berasas untuk mengembalikan negara kepada keadaan sebelum krisis kesihatan tersebut. - Bernama