GUA MUSANG - Seorang bayi perempuan berusia lima bulan menderita penyakit kepala besar atau lebihan cecair otak dan sumbing di Kampung Batu Dua, di sini.
Suni Angun Abdullah disahkan menghidap penyakit Hydrocephalus dan sumbing itu ketika masih berada dalam kandungan ibunya, Wan Rosnani Wan Yusof, 41, iaitu pada usia kandungan enam bulan.
Wan Rosnani berkata, tambah menyedihkan keadaan sumbing itu menyebabkan anaknya terpaksa minum susu melalui tiub wayar yang dijolok dari mulut sehingga masuk ke perut.
"Saya bancuh susu tuang ke dalam wayar setiap tiga jam. Saya juga perlu selalu basahkan kepala serta badan dia dengan air kerana dia kerap demam.
"Suni Angun juga selalu menangis dan tidak dapat tidur malam seperti gelisah mungkin tidak selesa atau sakit,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.
Katanya, enam lagi anaknya tinggal bersama bekas suami selepas mereka berpisah dua tahun lalu manakala tiga anak tinggal dengannya termasuk Suni Angun yang memerlukan perbelanjaan susu serta lampin pakai buang sekitar RM 700 sebulan.
"Suami baharu saya bekerja mengambil upah menoreh getah berpendapatan RM500 sebulan yang sekadar cukup untuk belanja makan kami.
"Dua anak yang ada di bawah jagaan saya berusia 14 dan 17 tahun pula tidak dapat bersekolah kerana saya kesempitan wang,” katanya.
Ujarnya, dia tidak dapat menahan sebak menjalani kehidupannya bersama anak yang sakit namun menerimanya sebagai ketentuan tuhan.
"Saya tetap reda dan menganggap kehadiran Suni Angun sebagai rezeki ALLAH SWT serta akan tetap menjaganya dengan penuh kasih sayang,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Galas, Mohd Syahbuddin Hashim mengunjungi keluarga itu dan menyampaikan sumbangan wang pada Selasa.
Orang ramai yang ingin menyalurkan sumbangan boleh berbuat demikian di akaun Bank Public Islamic bernombor 6807665623 atas nama Rosnani atau menghubunginya di talian 0167434121.