Kerajaan Kelantan peruntuk RM3 juta bantu golongan asnaf terkesan PKP

Iklan
Mumtaz Md Nawi (kiri) menyampaikan replika cek bernilai RM15,000 kepada Pengerusi Yayasan Amal Dato' Zul Wisma, Datuk Dr Zulkepli Mohamad (dua, kanan) pada program agihan zakat Ramadan kepada 310 keluarga ansaf dan anak yatim seluruh negeri secara pandu lalu di Seterpa, Peringat, malam tadi. -Foto Bernama

KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan memperuntukkan RM3 juta bagi membantu golongan asnaf yang terkesan oleh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan penularan wabak Covid-19 di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri, Datuk Mumtaz Md Nawi berkata, peruntukan itu termasuk bantuan ibu tunggal dan anak-anak yatim melibatkan 45 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kelantan.

Iklan
Iklan

"Peruntukan untuk siri satu akan mula diagih kepada golongan yang layak menerima bermula minggu depan, sebelum diteruskan dengan siri kedua kelak. Kami harap dengan adanya sumbangan ini dapat meringankan beban mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program agihan zakat bulan Ramadan kepada 310 keluarga asnaf dan anak yatim seluruh negeri Kelantan 2021 secara pandu lalu, anjuran Yayasan Amal Dato’ Zul Wisma dengan kerjasama kerajaan negeri Kelantan di Seterpa, Peringat, di sini hari ini.

Iklan

Terdahulu Mumtaz turut menyampaikan replika cek bernilai RM15,000 kepada Pengerusi Yayasan Amal Dato' Zul Wisma Datuk Dr Zulkepli Mohamad.

Mumtaz berkata pihaknya akan mewujudkan bantuan CAKNA Hawa untuk membantu wanita bekerja yang terkesan akibat Covid-19 pada bulan depan.

Iklan

"Kita akan kesan penerima yang layak menerusi penghulu-penghulu kampung dan sebagainya. Malah, sekiranya negeri Kelantan dikenakan ‘lockdown’, akan ada bantuan lain daripada kerajaan negeri kepada mereka yang terkesan termasuk peniaga dan orang kampung yang akan diumumkan kelak,” katanya.

Ditanya mengenai perkembangan kes harian Covid-19 yang membimbangkan di negeri ini, Mumtaz menggesa semua masyarakat agar kekal patuh prosedur operasi standard (SOP) norma baharu selain turut menyeru orang ramai agar tidak takut untuk menerima suntikan vaksin.

"Jangan takut untuk terima suntikan vaksin memandangkan ia dapat mengurangkan risiko jangkitan, kita telah susah dari segi ekonomi disebabkan Covid-19, jangan pula susah dengan masalah kesihatan sebab ia bukan sahaja mendatangkan kemudaratan ketika sakit, tetapi implikasi selepas sakit juga banyak.

"Kita mahu Kelantan jadi juara untuk vaksin, malu kalau takut nak vaksin...sebab jarum kecik do'oh (kecil sangat). Vaksin ini sebagai ikhtiar kita, jadi jangan sampai kita terpengaruh dengan dakyah-dakyah yang menyebabkan orang susah,” katanya. - Bernama