Benarkan pelanggan makan di restoran: Primas

Iklan
Gambar hiasan - Foto 123RF
SHAH ALAM - Persatuan Pengusaha Restoran India Malaysia (Primas) merayu kerajaan membenarkan pelanggan makan di restoran dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Timbalan Presiden Primas, C Krishnan, pelaksanaan PKP 3.0 dengan tidak membenarkan makan di restoran akan memberi kesan buruk terhadap perkembangan ekonomi.

Beliau berkata, PKP 3.0 akan menyebabkan banyak restoran terpaksa ditutup untuk selamanya.

"Pengurusan restoran juga tidak dapat memenuhi keperluan asas pekerja dan diri masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Pada Selasa, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pelaksanaan PKP 3.0 di enam daerah di Selangor bermula 6 Mei sehingga 17 Mei 2021.

Bagaimanapun, semua aktiviti ekonomi masih dibenarkan di enam kawasan berkenaan dengan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat manakala aktiviti sosial tidak dibenarkan.

Premis makanan seperti restoran, 'food truck', penjaja dan kiosk dibenarkan beroperasi dari jam 6 pagi hingga jam 12 tengah malam sahaja tetapi makan di restoran tidak dibenarkan.

Menteri itu turut mengumumkan kedai runcit, serbaneka dan keperluan harian serta farmasi dibenarkan beroperasi dari jam 6 pagi hingga jam 10 malam.

Dalam pada itu, Krishnan berkata, pengusaha restoran perlu dibenarkan beroperasi dengan menghadkan dua individu untuk satu meja serta mengamalkan SOP yang ditetapkan oleh kerajaan.

"Minimum dua orang satu meja sekurang-kurangnya dapat menampung perbelanjaan harian pekerja,” katanya.

"Kami mohon proses vaksinasi untuk industri perkhidmatan dan individu di kawasan terjejas dicepatkan bagi mengurangkan kadar jangkitan Covid-19,” katanya.