KLUANG- Dua ekor gajah ditemui mati dipercayai termakan racun di kebun sayur berhampiran Empangan Kahang dan Hutan Simpan Kluang di sini pada Selasa.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor, Salman Saaban berkata, pihaknya menerima aduan awam mengenai penemuan bangkai gajah berkenaan kira-kira jam 5 petang.
"Perhilitan segera ke lokasi penemuan bangkai berkenaan di sebuah kebun sayur berhampiran dengan Empangan Kahang dan Hutan Simpan Kluang," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.
Salman berkata, hasil siasatan awal mendapati bangkai tersebut adalah dua ekor gajah juvenile betina yang dianggarkan berumur antara lima hingga enam tahun.
"Tiada kesan tembakan ditemui pada badan atau kepala gajah. Berdasarkan keadaan bangkai adalah disyaki kedua-dua ekor gajah tersebut telah mati dalam tempoh satu atau dua minggu dan mati disebabkan termakan racun.
"Gajah yang terlibat adalah daripada kumpulan gajah tenggara yang dianggarkan sebanyak 25 hingga 30 ekor dan sering berkeliaran di sekitar kawasan berkenaan untuk mencari makanan," katanya.
Menurut beliau, proses pengambilan beberapa sampel bagi mengenal pasti punca sebenar kematian gajah tersebut telah dilakukan sebelum bangkai gajah dilupuskan dengan ditanam di kawasan berdekatan pada Rabu.