Dua beranak nyaris dihanyut arus

Iklan
Dua beranak berpaut pada kereta sebelum diselamatkan pasukan bomba di Kota Raja, Taman Meru 2C. - Foto ihsan bomba

IPOH - Dua beranak terpaksa berpaut lebih 10 minit pada kenderaan sebelum berjaya diselamatkan daripada dihanyutkan arus deras dalam kejadian banjir kilat di Kota Raja, Taman Meru 2C di sini petang Rabu.

Kejadian berlaku kira-kira jam 6 petang ketika wanita berusia 47 tahun dan anak perempuannya berusia 19 tahun dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Manjung dalam hujan lebat.

Iklan
Iklan

Ketika melalui kawasan tersebut, kenderaan mereka tersangkut akibat arus deras daripada limpahan air Sungai Meru berhampiran.

Kedua-dua mangsa kemudiannya berpaut pada pintu kereta jenis Toyota Vios itu sebelum disedari penduduk kampung.

Iklan

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Meru Raya, Sharudi Muhamad Halil berkata, sepasukan enam anggota bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 6.04 petang.

Anggota bomba menggunakan tali dan jaket keselamatan untuk menyelamatkan dua beranak daripada dihanyutkan arus deras banjir kilat. - Foto ihsan bomba

"Setibanya di lokasi, kedua-dua mangsa sedang berpaut di tepi kereta dengan paras air dianggarkan sedalam hampir satu meter.

Iklan

"Dua tali menyelamat digunakan membuat 'anchoring' pada batang pokok sebelum anggota menggunakan jaket keselamatan bergerak mengikut arus untuk menyelamatkan mangsa," katanya.

Menurutnya, kedua-dua mangsa dipakaikan jaket keselamatan sebelum dibawa ke tempat selamat.

"Mangsa berjaya diselamatkan dan tidak cedera tetapi trauma dengan kejadian itu.

"Kenderaan milik mangsa juga tidak dihanyutkan kerana air mulai surut perlahan-lahan dan mangsa diserahkan kepada keluarga," katanya.

Operasi tamat operasi pada jam 7.19 petang.