SEMENYIH - Kempen PRK DUN Semenyih baru berjalan tiga hari namun nampaknya bahang pilihan raya kali ini semakin terasa.
Semalam, Sinar Harian mendapati risalah provokasi mengkritik bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mula disebarkan berhampiran sebuah pasar raya terkemuka.
Menurut seorang penunggang motosikal yang ingin dikenali sebagai Eddy, dia mendapati risalah tersebut berada di dalam raga motosikalnya selepas dia membeli barang keperluan di pasar raya itu.
"Pada mulanya saya fikir mungkin risalah perniagaan namun bila diambil, ia merupakan risalah mengutuk Najib. Sempat jugalah saya baca semuanya.
"Lepas baca, saya buang terus. Tiada faedah baca perkara sebegitu cuma terkejut juga masih ada pihak melakukan perkara sedemikian,” katanya.
Secara kebetulan, salah seorang wartawan Sinar Harian turut mendapat risalah sama kerana motosikalnya juga diletakkan di kawasan sama.
Berdasarkan pemerhatian, risalah itu memaparkan karikatur seorang lelaki mirip Najib sedang menunggang motosikal dan ditulis perkataan ‘Malu apa bossku!’ di sebelahnya.
Dalam halaman sama, perkataan ‘pencuri, perompak, penyangak, penyamun’ dan ‘Malaysia jangan lupa!’ juga dicetak dalam risalah dua muka itu.
Di belakangnya pula, terpampang tulisan ‘Rosmah sumbang RM326 juta?’ yang dikaitkan dengan laporan berita bertajuk ‘Anak Rosmah, Riza Aziz harumkan nama negara’.
Berita tersebut mengisahkan penerbitan filem The Wolf Of Wall Street menelan belanja RM326 juta yang didakwa hasil sumbangan ibunya, Datin Seri Rosmah Mansor.
Dalam pada itu, hasil tinjauan juga mendapati terdapat satu banner provokasi digantung berhampiran kawasan tersebut.
Banner yang turut memaparkan logo PH itu tertulis ‘Kita bukan pencuri’, ‘Kita bukan pembohong’ dan ‘Kita bukan perompak’ dan dipercayai ia juga merujuk kepada Najib dan kerajaan terdahulu.