Sindiket tipu dokumen pinjaman bank RM4.7 juta tumpas

Iklan

KUALA LUMPUR - Polis melumpuhkan sindiket menggunakan dokumen palsu untuk permohonan pembiayaan peribadi membabitkan kerugian RM4.7 juta selepas lapan lelaki termasuk enam pegawai institusi kewangan ditahan dalam operasi pada Sabtu lepas.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, kesemua mereka ditahan dalam operasi berasingan sekitar Lembah Klang dan polis merampas lapan telefon bimbit serta beberapa penyata gaji peminjam yang disyaki terbabit dalam kes itu.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, siasatan awal mendapati sindiket itu menyasarkan individu yang tidak layak membuat pinjaman sama ada telah disenarai hitam atau tidak mempunyai punca pendapatan tetap.

"Sindiket ini akan menyediakan dokumen sokongan seperti surat lantikan kerja dan penyata kewangan yang palsu bagi melayakkan peminjam mendapat pembiayaan itu.

Iklan

"Kakitangan institusi kewangan yang mempunyai kaitan dengan sindiket ini akan meluluskan pembiayaan tanpa membuat pemeriksaan dan pengesahan teliti ke atas dokumen itu,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini pada Rabu.

Azmi berkata, purata kadar pinjaman yang dimohon peminjam adalah RM150,000 seorang dan hanya menerima 30 peratus daripada jumlah pembiayaan.

Iklan

Jelasnya, sindiket akan menyimpan baki pembiayaan dengan alasan mereka akan membayar ansuran bulanan selama 20 bulan dan selebihnya adalah komisen atas kerja yang dilakukan mereka. - Bernama