SEMUA telah sedia maklum bahawa aktiviti kunjung-mengunjung sempena sambutan Aidilfitri dibenarkan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tetapi perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
Dalam sidang media pada Selasa, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tempoh masa dan jumlah pengunjung berbeza di kawasan PKP, PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP).
Walaupun pelbagai SOP dan amaran keras dikeluarkan, pasti ada pihak yang akan cuba nasib menyeberang sempadan meskipun mengetahui risiko bakal dihadapi.
Mungkin tidak lama lagi akan muncul kisah-kisah sedih tidak boleh rentas negeri atau daerah mulai tular terutama menjelang akhir-akhir Ramadan, namun pihak berkuasa perlu kuat semangat.
Bukan bermakna menjadi tegas itu satu kesalahan tetapi jika tidak tegas, itulah kesalahan besar.
Sejak dua tiga bulan ini, media sering melaporkan beberapa individu termasuk selebriti tanah air sewenang-wenangnya mempamerkan kejahilan mereka di media sosial tanpa rasa tanggungjawab. Semua itu tidak akan berlaku jika pihak berkuasa lebih tegas.
Ini masa untuk kembali istiqomah terhadap perjuangan pertama kita iaitu ketika pertama kali kita laksanakan PKP pada 18 Mac 2020.
Masih segar dalam ingatan, jalan raya menjadi lengang, tiada aktiviti riadah, hanya kedai makan dan kedai runcit beroperasi. Sana-sini kereta peronda polis meronda sambil memasang speaker. Hebat betul momen itu.
Semoga kawasan yang terlibat PKP tidak ada yang bolos lagi. Kita perlu bersungguh-sungguh untuk menghapuskan Covid-19. Tiada rentas negeri atau daerah. Bersabarlah.
Selain isu disiplin rakyat Malaysia, ramai juga yang bertanya bagaimana keputusan kerajaan akan melaksanakan PKP untuk enam daerah Selangor. Misalnya, kawasan Kampung Pandan (Selangor) tidak sampai sekaki sudah berada di kawasan Kuala Lumpur.
Satu lagi contoh, Desa Pandan (Selangor) dan Taman Maluri (Kuala Lumpur). Begitu juga Pandan Jaya yang berada bersebelahan dengan Taman Maluri dan Kampung Pandan India serta Desa Pandan. Pandan Indah pun sama, bersebelahan sahaja dengan Cheras dalam daerah Kuala Lumpur.
Adakah pelaksanaan PKP ini logik? Sebelah Kuala Lumpur, sebelah lagi Selangor. Jadi ramai yang mempertikaikan di mana logiknya PKP di Selangor tetapi tidak di Kuala Lumpur.