KDEB Waste Management bersedia menghadapi kemungkinan peningkatan kutipan sampah pada Aidilfitri selepas larangan rentas negeri oleh kerajaan yang menyaksikan warga kota akan beraya di bandar.
Pengarah Urusan KDEB Waste Management, Ramli Mohd Tahir berkata, peningkatan dijangka berlaku antara 10 hingga 20 peratus sehari terutama pada hari sebelum Aidilfitri, hari pertama dan hari kedua Aidilfitri.
Menurutnya, jadual kutipan akan disusun sebaiknya bagi mengelakkan lambakan sampah pada hari-hari berikutnya."Kita menjangkakan (peningkatan sampah), apabila orang ramai tidak pulang ke kampung dan mereka memasak di rumah, menjemput keluarga terdekat menjamu selera dengan konsep sama seperti tahun lepas.
"Insya-ALLAH kita bersedia, penjadualan petugas terdiri daripada pegawai dan subkontraktor juga telah dibuat untuk hari raya pertama,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau ditemui ketika program Singgah Sinar Iftar 1-Meter anjuran Sinar Harian bersama KDEB Waste Management di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor di Padang Jawa pada Selasa.
Turut hadir Pengurus Tugas-Tugas Khas Kumpulan Karangkraf, Hashim Anang dan Ketua Bahagian Jabatan Penguat Kuasa JPJ Selangor, Mohamad Hafiz Usman.
Ramli berkata, pihaknya juga tidak menolak kemungkinan tambahan trip kutipan sampah pada hari puncak namun keputusan itu bergantung kepada waktu operasi tapak pelupusan.
"Kita akan teliti mengenai perkara itu dan memastikan kutipan sampah dapat diselesaikan pada hari sama walaupun jika terpaksa melanjutkan waktu operasi.
"Jika pada hari biasa jumlah kutipan sampah di Selangor sebanyak 7,000 tan tetapi pada musim perayaan dijangka meningkat kepada 7,500 hingga 7,700 tan,” kata beliau.
Ramli turut meminta kerjasama orang ramai menguruskan sampah dengan baik bagi memudahkan pihak kontraktor melakukan kutipan dengan lancar.
"Penduduk negeri Selangor yang mahu membuang sampah pukal (perabot, barang lama dan lain-lain), kami minta mereka maklumkan kepada pihak KDEB Waste Management melalui laman web atau telefon untuk penetapan tarikh kutipan.
"Tiada caj dikenakan, ia bertujuan memudahkan pihak kontraktor membuat penjadualan bagi membolehkan sampah berkenaan diangkut dan dibuang ke tempat sepatutnya,” ujarnya.