Mydin kongsi kegembiraan Syawal

Iklan
Dari kanan: Zaitol, Ameer Ali dan Siti Hawa menyampaikan sumbangan raya kepada murid SK Jalan U3 di Subang Jaya pada Selasa.

MYDIN Mohamed Holdings Berhad (Mydin) melalui program tanggungjawab sosial korporatnya, Mydin Prihatin menyantuni golongan memerlukan dengan menyumbangkan barangan makanan dan kelengkapan persiapan perayaan.

Pengarah Urusannya, Datuk Ameer Ali Mydin berkata, program itu bagi membantu menceriakan golongan sasar yang memerlukan ketika negara berdepan pandemik Covid-19.

Iklan
Iklan

Menurutnya, menerusi kempen tersebut, hampir RM100,000 dana berjaya dikumpulkan bagi membantu 1,000 golongan sasar seperti rumah kebajikan berdaftar dan golongan asnaf.

"Cara kita mengumpul dana adalah kita bekerjasama dengan syarikat pembekal Mydin. Setiap syarikat pembekal akan menyumbang barangan bermula lima hingga 50 sen.

Iklan

"Mydin juga menyumbang daripada setiap bara-ngan tersebut yang dibeli orang ramai," katanya di Mydin Subang Jaya di sini pada Selasa.

Ameer Ali

Hadir sama, Pengarah Mydin, Datin Siti Hawa Mohd dan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor, Dr Zaitol Salleh.

Iklan

Ameer Ali berkata, kolaboratif bersama JKM dalam program itu adalah untuk memastikan bantuan benar-benar disalurkan kepada golongan memerlukan.

"Kita hanya kumpul dana tetapi kita tidak tahu siapa yang patut dibantu, jadi JKM berikan maklumat kepada kita.

"Hari ini (Selasa) kita bekerjasama dengan JKM untuk membawa orang kurang upaya (OKU) membeli barangan keperluan raya, selain pelajar sekolah.

"Mydin Prihatin juga akan menjelajah ke lokasi yang telah dikenal pasti iaitu Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka menggunakan lori yang disediakan,” katanya.

Beliau berkata, Mydin juga telah mula mengagihkan barangan sumbangan orang ramai melalui Food Bank Mydin Prihatin.

"Bank makanan ini ditempatkan di 27 cawangan Pasar Raya Besar Mydin seluruh negara bermula 1 April lalu bagi memudahkan orang ramai menyumbang barangan keperluan kering seperti makanan.

"Setiap bulan barangan ini akan dikumpulkan dan disalurkan ke rumah kebajikan berdaftar yang berbeza,” katanya.

Sementara itu, seorang penerima sumbangan, Putri Nur Aleesya Mohammad Fadli, 12, melahirkan rasa gembiranya menerima sumbangan raya daripada Mydin.

Murid Tahun Enam Sekolah Kebangsaan (SK) Jalan U3 itu berkata, ia merupakan tahun pertamanya dia dan adiknya mendapat sumbangan daripada Mydin berupa barangan raya seperti baju, tudung dan beg.

Ameer Ali (kanan) ketika menyantuni golongan OKU sempena program Mydin Prihatin di Mydin Subang Jaya pada Selasa.