PUTRAJAYA - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) tidak pernah melantik dan mengiktiraf pihak ketiga untuk bertindak sebagai ejen pengiklanan Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM).
Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad dalam kenyataannya berkata, segala aktiviti dan promosi KBBM dilakukan kementerian sendiri dengan rakan strategik termasuk pemain industri, peruncit serta media.
Iklan
Iklan
"Kementerian menegaskan tidak pernah melantik atau melakukan sebarang endorsement kepada mana-mana pihak ketiga untuk bertindak sebagai ejen pengiklanan sama ada melalui media cetak, media elektronik dan media baharu bagi tujuan promosi," katanya pada Khamis.
KBBM merupakan salah satu inisiatif kerajaan yang dilaksanakan melalui kementerian untuk merangsang pertumbuhan ekonomi domestik dengan meningkatkan pembelian barangan tempatan, memajukan projek keluaran usahawan dan industri tempatan.
Ia sekali gus meningkatkan semangat patriotism dalam kalangan rakyat Malaysia terhadap barangan dan perkhidmatan keluaran tempatan.