YAN - Pemandangan indah berlatarbelakangkan Gunung Jerai berserta jerami gulung di Kampung Sungai Limau Dalam menjadi tular di media sosial.
Kawasan berkenaan kini menjadi tumpuan pelancong dan penduduk setempat yang ingin mengabadikan foto kenangan.
Seorang pengunjung, Noraiza Ibrahim, 21, berkata, dia mula mengetahui mengenai lokasi jerami gulung ini melalui Facebook.
"Lepas tengok ramai yang duk ambil gambar di sini, saya pun jadi teruja nak mai sini.
"Pemandangan kat sini cantik, ada Gunung Jerai lagi. Kalau dalam gambar dah nampak macam kat luar negara," katanya.
Bagaimanapun ramai tidak tahu jerami gulung yang tular itu sebenarnya inisiatif Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dalam mengurangkan pembakaran jerami secara terbuka.
Pengarah Bahagian Industri Asas Tani dan Bukan Padi MADA, Ruslan Abd Ghani Ahmad berkata, projek berkenaan dilaksanakan sejak 2006 dan mula dilancarkan di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) F-IV Sungai Limau.
Katanya, projek berkenaan turut mendapat kerjasama daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) yang menyokong penuh usaha ini demi kelestarian alam sekitar.
"Daripada kerjasama ini kita nampak ada impak positif dan pembakaran jerami pun makin berkurangan. Jadi kita ambil keputusan untuk teruskan projek ini sehingga sekarang," katanya ketika ditemui di PPK F-IV Sungai Limau semalam.
Menurutnya, setakat ini terdapat sembilan lagi PPK yang menjalankan projek jerami gulung ini.
"Dua daripadanya adalah di Perlis iaitu, PPK Tambun Tulang dan PPK Kayang, manakala selebihnya adalah di PPK Sanglang, Kerpan, Tunjang, Kepala Batas, Hutan Kampung, Kobah dan Pengkalan Kundor.
"Kesemua 10 PPK ini menghasilkan kira-kira 4,400 tan jerami semusim dan lazimnya jerami ini kita kutip pada musim kedua penanaman padi kerana cuacanya yang panas dan kering berbanding musim satu yang selalunya akan hujan," katanya.
Boleh dikitar semula
Ruslan berkata, jerami gulung ini bukan sahaja dapat mengelakkan pencemaran, malah ia juga boleh dikitar semula untuk beberapa kegunaan.
"Antaranya, ia dijadikan sebagai makanan tambahan kepada haiwan ternakan seperti lembu. Ada juga penternak yang kreatif mereka proses jerami ini menjadi palet sebelum diberikan kepada haiwan ternakan mereka.
"Bagi mereka yang bercucuk tanam, jerami ini juga sesuai dijadikan sungkupan untuk mengekalkan kelembapan kepada tanah," katanya.
Tambahnya teknik jerami gulung ini juga membantu memusnahkan sumber-sumber penyakit yang ada dalam sawah.
"Kita ada dua proses, yang pertama kita ambil jerami berkenaan menggunakan mesin penggulung jerami dan kemudiannya kita akan potong tunggul padi menggunakan mesin 'rotor slasher'' sebelum ia dibakar.
"Pembakaran dengan cara ini lebih sekata dan terkawal kerana segala penyakit dan perosak akan musnah dengan lebih cepat dan berkesan," katanya.
Jadi baja organik
Sementara itu, Pengurus PPK Sungai Limau, Shahroni Othman berkata, kapasiti gudang jerami di PPK berkenaan telah mencecah kira-kira 3,000 ketul jerami.
"Setakat ini kami sudah berjaya mengutip jerami di kira-kira 500 hektar sawah padi di sekitar kawasan ini.
"Jerami yang dikutip ini ada yang dijual dan ada yang kami proses untuk dijadikan baja organik vermikompos yang dicampur dengan tinja lembu dan cacing.
"Baja hasil kerjasama dengan JAS ini baik untuk memperbaiki struktur tanah dan membekalkan unsur-unsur yang diperlukan oleh tumbuhan," katanya.
Menurutnya, setakat ini permintaan baja organik ini memberangsangkan dan individu yang berminat boleh mendapatkannya di PPK.
Dalam pada itu, Shahroni tidak menyangka jerami gulung di kawasannya tular di Facebook setelah menjadi lokasi kegemaran untuk pelancong dan penduduk setempat bergambar.
"Memang kita tak sangka sebab kita dah buat jerami gulung ni dah lama.Tapi sekarang baru tular. Mungkin sebab pemandangan kat sini cantik, berlatar belakangkan Gunung Jerai. secara tidak langsung ia turut menjadi kebanggaan kita sebagai anak Kedah," katanya.