KEJAYAAN memperoleh gol awal memberi keyakinan buat Sabah FC untuk bermain lebih baik dan menguasai permainan yang seterusnya menghasilkan kemenangan 3-1 ke atas Melaka United pada perlawanan Liga Super di sini malam Rabu.
Ketua jurulatih Sabah FC, Kurniawan Dwi Yulianto berkata, beliau telah menerapkan kepada pemain supaya menjadi agresif sedari awal perlawanan bagi menekan pemain lawan untuk memperoleh gol awal dan strategi itu menghasilkan dua gol pada babak pertama.
"Pada awal perlawanan kita harus curi gol dulu supaya kita lebih yakin, ini penting kerana Melaka (United) punya pemain yang bagus jadi para pemain kita telah menunjukkan permainan yang luar biasa.
"Pemain berjaya bermain mengikut perancangan kita dan tiga mata yang diperoleh sedikit-sebanyak meningkatkan semula keyakinan pemain untuk seterusnya membaiki kelemahan," katanya pada sidang media selepas perlawanan itu malam tadi.
Pada perlawanan di Stadium Likas itu, skuad The Rhinos membuka jaringan seawal minit keenam menerusi Mohd Amri Yahyah sebelum Mohd Azzizan Nordin menggandakan jaringan pada minit ke-17, dan Mohd Amri menjaringkan gol ketiga pada minit ke-47. Melaka United memperoleh gol tunggal mereka pada minit ke-65.
Menurut Kurniawan, masih terdapat kelemahan yang perlu dibaiki pemainnya menjelang perlawanan menentang Kedah Darul Aman FC pada Sabtu ini, terutama dari segi mengawal rentak permainan.
"Pada perlawanan tadi, selepas menjaringkan gol, pemain dilihat memperlahankan tempo yang memberikan ruang buat pemain Melaka United bangkit dan peroleh keyakinan,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Jurulatih Melaka United, Zainal Abidin Hassan mengakui kecewa dengan aksi anak buahnya terutama pada separuh masa pertama kerana melakukan kesilapan mudah yang menyaksikan gawang mereka dibolosi dua kali.
"Pemain cuba bangkit selepas itu, namun mereka gagal menyudahkan peluang yang ada," katanya yang mahu mengenal pasti kehilangan fokus sebagai antara kelemahan anak buahnya pada perlawanan malam tadi. - Bernama