PENGENDALI Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer mengkritik tindakan penyokong The Red Devils yang melakukan protes secara kekerasan untuk menuntut pemilik United iaitu keluarga Glazer menjual kelab tersebut.
Menurut Solskjaer, protes tersebut seharusnya berlangsung secara aman walaupun dia memahami sentimen penyokong yang tidak berpuas hati dengan pemilik kelab tersebut.
Protes yang dilakukan oleh penyokong pada Ahad itu turut menyebabkan aksi United menentang Liverpool dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Old Trafford terpaksa ditangguhkan.
"Ia hari yang sukar buat kami. Sudah tentu kami mahu bermain dah menewaskan Liverpool untuk penyokong. Menjadi tugas kami untuk mendapatkan keputusan baik di atas padang dan itu adalah fokus pemain dan pengurusan pasukan.
"Tetapi, seperti saya katakan sebelum ini bahawa kami perlu mendengar suara penyokong dan mereka berhak untuk melakukan protes. Namun, ia perlu dilakukan dalam keadaan aman. Malangnya apabila anda memecah masuk ke padang dan ada polis yang cedera, maka ia sesuatu yang tidak wajar.
"Ia sudah menjadi tidak terkawal dan sudah menjadi urusan polis dan saya tidak nampak ia sebagai protes untuk membolehkan kami mendengar suara daripada penyokong," katanya.
Keluarga Glazer dikecam selepas United mengalami penurunan prestasi sejak keluarga itu mengambil alih United pada 2005 selain turut menjadi pihak yang bersetuju untuk menyertai Liga Super Eropah (ESL).
Dalam masa sama, Solskjaer turut memberitahu bahawa dia sudah berhubung dengan keluarga Glazer berkenaan situasi itu dan menyatakan bahawa keluarga tersebut telah memohon maaf kepada penyokong.
"Saya telah berkomunikasi dengan pemilik kelab dan mereka memohon maaf secara peribadi. Namun,seperti yang saya katakan sebelum ini bahawa ia sesuatu yang sukar kerana saya perlu fokus dengan bola sepak selain saya mempunyai hubungan baik dengan mereka.
"Saya percaya pemilik kelab akan mendengar keluhan penyokong cuma saya harapkan penyokong tidak terus mengeruhkan suasana," katanya.