KEMAMAN - Cubaan empat nelayan Vietnam termasuk tekong melarikan diri dengan bertindak merentangkan tali pukat tidak berhasil apabila ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kemaman, pagi Rabu.
Kehadiran bot dengan nombor pendaftaran KG 2040 TS yang menceroboh perairan negara untuk merompak hasil laut di sekitar perairan Negeri Terengganu dikesan melalui penglihatan dan radar semasa rondaan Op Naga Barat dan Op Iman sekitar jam 11.15 pagi.
Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi Abd Rashid berkata, semasa usaha untuk merapat, bot nelayan tersebut bertindak merentangkan tali pukat dan cuba melarikan diri menuju ke arah sempadan perairan antarabangsa, namun telah berjaya dipintas sebelum ditahan di kedudukan 58 batu nautika timur laut Kuala Kemaman, jam 12.15 tengah hari.
"Pemeriksaan ke atas bot tersebut mendapati empat kru termasuk tekong warganegara Vietnam berusia 23 hingga 42 tahun, yang kesemuanya tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah, serta bot tidak mempunyai dokumen yang sah.
"Turut dirampas bekalan diesel beranggaran 1,000 liter dan peralatan menangkap ikan yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM1.5 juta.
"Bot, tahanan dan rampasan dibawa masuk ke Jeti Zon Maritim Kemaman dan semua tahanan akan menjalani saringan Covid-19 sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk siasatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Jelasnya, kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menjalankan aktiviti perikanan dalam perairan negara tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan dan Akta Imigresen 1959/63 kerana kru tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.
Jelas Rashidilhadi lagi, operasi membanteras kegiatan pencerobohan nelayan asing khususnya dari negara Vietnam akan diteruskan tanpa henti dan Maritim Malaysia juga akan menggunakan pelbagai kaedah pelaksanaan operasi bagi melindungi hasil laut negara dan khazanahnya daripada dirompak oleh nelayan-nelayan asing.