SHAH ALAM - Pengeluaran getah asli menurun 27.6 peratus pada Mac 2021 kepada 36,068 tan metrik berbanding 49,840 tan metrik pada bulan sebelumnya.
Menurut Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, perbandingan tahun ke tahun sebaliknya menunjukkan peningkatan 4.5 peratus.
Beliau berkata, eksport getah asli Malaysia berjumlah 58,852 tan metrik pada Mac 2021 meningkat sebanyak 7.7 peratus berbanding 54,632 tan metrik pada Februari 2021.
"China kekal sebagai destinasi utama eksport getah asli menyumbang 51.8 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport pada Mac 2021, diikuti Jerman (6.4 peratus), Finland (5.3 peratus), Amerika Syarikat (4.8 peratus) dan Brazil (2.3 peratus),” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Mohd Uzir berkata, sarung tangan getah merupakan item eksport utama dengan nilai eksport RM6.4 bilion pada Mac 2021, meningkat sebanyak 9.4 peratus berbanding Februari 2021 (RM5.8 bilion).
"Amerika Syarikat menjadi negara pengimport tertinggi sarung tangan getah diikuti Jerman dan China.
"Stok getah asli menurun sebanyak 1.6 peratus pada Mac 2021 kepada 281,672 tan metrik berbanding 286,117 tan metrik pada Februari 2021,” katanya.
Menurut Mohd Uzir, harga purata Lateks Pekat dan Getah Mutu Malaysia 20 (G.M.M 20) bagi Mac 2021 adalah yang tertinggi dicatatkan pada Suku Tahun Pertama tahun semasa.
"Harga purata bagi Lateks Pekat merekodkan peningkatan kepada 680.20 sen sekilogram berbanding Februari 2021 (587.91 sen sekilogram).
"G.M.M. 20 turut menunjukkan peningkatan daripada 672.68 sen sekilogram kepada 707.89 sen sekilogram bagi tempoh yang sama,” katanya.
Katanya, Jabatan Perangkaan Malaysia juga melaporkan bahawa penggunaan getah asli di peringkat domestik pada Mac 2021 ialah 49,718 tan metrik, meningkat sebanyak 11.2 peratus berbanding bulan sebelumnya.
"Penggunaan getah asli dalam industri pembuatan sarung tangan getah terus mendahului dengan penggunaan sebanyak 37,435 tan metrik atau 75.3 peratus daripada jumlah penggunaan domestik pada Mac 2021,” katanya.