World #QuranHour satukan umat Islam

Iklan
Ahmad Marzuk pada sidang akhbar program World #QuranHour di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin pada Khamis.

PUTRAJAYA - Program World #QuranHour menjadi salah satu platform untuk menyatukan umat Islam sama ada di dalam mahupun luar negara.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, terdapat lebih daripada 30 negara bergabung untuk menyertai program berinteraksi dengan al-Quran melalui baca, faham dan amal secara dalam talian dan luar talian.

Iklan
Iklan

"Kadang kita terlalu sibuk dengan pelbagai perancangan dunia ditambah dengan beban kerja untuk kita.

"Justeru, dengan adanya penganjuran program yang saya rasa sangat berharga dan baik ini, ia merupakan platform untuk menyatukan umat Islam bukan sahaja di Malaysia tetapi negara luar turut terlibat sama.

Iklan

"Kita juga sedia maklum media sosial sekarang ini mampu menghubungkan masyarakat di seluruh dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar program World #QuranHour di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di sini pada Khamis.

Iklan

Mengulas lanjut, Ahmad Marzuk berkata, pemilihan kandungan Surah al-Mulk untuk misi tahun ini adalah sangat bersesuaian dengan situasi negara pada masa kini.

"Sebagai sebuah kerajaan kita sudah tentu akan diuji hebat. Jadi, untuk lari dari segala bala bencana yang ada kita perlu bergantung sepenuhnya kepada ALLAH SWT.

"Apabila kita membaca surah ini, ia secara tidak langsung akan membuka minda kita bahawa kerajaan sebenar adalah milik ALLAH SWT,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Ramadan dengan al-Quran merupakan dua perkara yang tidak boleh dipisahkan.

"Antara amalan yang sering dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW ialah bertadarus dengan lebih kerap.

"Justeru, ia penting untuk kita mencontohi sunnah Nabi SAW khususnya dalam bulan Ramadan ini,” katanya.