Semenyih mungkin terus panas

Iklan
Gambar hiasan. - Foto Bernama

SEMENYIH - Sebaik selesai PRK Parlimen Cameron Highlands, tumpuan rakyat Malaysia pantas beralih pula ke PRK DUN Semenyih.

Kehangatan, keterujaan, kepanasan PRK ini mula terasa sebaik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan tarikh penamaan calon (16 Februari) dan hari mengundi pada 2 Mac ini.

Iklan
Iklan

Sebaik ia diumumkan, parti bertanding termasuk calon Bebas mula mencongak strategi, menyusun langkah, merencana pergerakan demi satu matlamat. Memastikan ‘Semenyih eden punyo’.

Namun, bukanlah PRK namanya jika tiada drama, kejutan hatta usikan. Hari Penamaan Calon lagi ‘drama’ sudah bermula seakan petanda PRK DUN Semenyih bakal menyajikan pelbagai kisah sensasi.

Iklan

Proses penamaan calon Sabtu lepas berjalan lancar sedari awal namun penutupnya tidaklah begitu molek selepas Ketua Armada, Syed Saddiq Abdul Rahman mendakwa ‘diserang’ penyokong BN ketika bergerak ke keretanya.

Sekelip mata, insiden tersebut tular. Pelbagai cerita dikongsi, ada berkata Ahli Parlimen Muar itu sengaja mencetuskan kontroversi namun beliau bingkas menangkis dakwaan tersebut.

Iklan

Bahkan, beliau membuat laporan polis pada hari sama di Balai Polis Sungai Way, Kuala Lumpur.

"Saya tidak tahu apa niat Papagomo yang tiba-tiba mencekak bahagian belakang leher saya dengan kuat ketika saya bersama tiga lagi rakan hendak meninggalkan pusat penamaan calon PRK Semenyih,” katanya.

Tidak terhenti di situ, Exco Pemuda UMNO, Wan Muhammad Azri Wan Deris (Papagomo) enggan berdiam diri malah menegaskan akan menyaman Syed Saddiq kerana menuduh dia mencekik menteri tersebut.

"Saya tidak pasti apa motif beliau (berbohong). Sedangkan saya cuba untuk meleraikan ketegangan selepas beliau (Syed Saddiq) cuba membuat provokasi dengan memasuki kawasan penyokong BN,” katanya.

Mungkin kisah Syed Saddiq ‘diserang’ berjaya menggemparkan netizen namun ia bukanlah tandingan jika dibandingkan dengan kenyataan Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Abdul Hadi (Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang) maklumkan kepada saya, bahawa Pas tidak akan menyokong UMNO. Bukan itu sahaja, tapi ada juga pengakuan secara tertulis dan ditandatangani,” kata beliau.

Nah, kecoh seantero Malaysia. Pengamal media tentunya menjadi orang paling sibuk, aktif mendapatkan maklum balas pemimpin Pas dan UMNO.

Belum sempat hilangkan lelah mengarang berita penamaan calon, timbul pula berita yang pastinya menghiasi muka depan sekaligus menyejukkan bara ‘Empat penjuru di Semenyih’.

Kenyataan Dr Mahathir itu jelas mampu memberi impak kepada kempen BN di Semenyih. Begitupun pemimpin Pas dan BN dilihat sungguh bersedia, pantas mengeluarkan kenyataan balas.

"Pas telah menyatakan pendirian tidak bertanding dalam PRK DUN Semenyih dan memberi laluan kepada BN dengan tahap komitmen serta kadar penglibatan yang berbeza berbanding PRK Cameron Highlands,” kata Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan, keesokannya.

Naib Presiden Pas, Idris Ahmad pula menegaskan kerjasama Pas dan UMNO di Semenyih kekal seperti biasa malah bekas Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein turut senada dengannya.

"Bagi saya cukuplah bagi mereka (Dr Mahathir) melagakan pemimpin kita, lihat akar umbi jentera UMNO-Pas di sini, saya jelas melihat penyatuan," kata Ahli Parlimen Sembrong itu.

Di Cameron Highlands, cuacanya sejuk namun tidak mampu menyejukkan bahang persaingan calon di sana. Di Semenyih pula, cuaca kadangkala agak panas, kadangkala hujan namun kehangatan PRK masih terasa.

Rakyat Semenyih pasti mengharapkan kempen berjalan lancar. Insiden di hari penamaan calon diharap tidak berulang. Harapnya drama tidak lagi berulang tetapi apalah PRK jika tiada drama, kejutan dan kontroversi, kurang meriahnya.

Semenyih jirannya Negeri Sembilan,

Berbilang kaum hidupnya aman,

Usahlah berbalah dambakan sokongan,

Kerana PRK untuk rakyat juga kan?