Maqis sumbang rampasan daging sejuk beku kepada Zoo Negara

Iklan
Ahmad Hamzah (dua dari kiri) menyerahkan bekalan daging untuk diserahkan kepada Zoo Negara di Wisma Tani, Putrajaya pada Khamis.

SHAH ALAM - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) menyumbangkan daging ayam dan kerbau sejuk beku hasil rampasan yang dilucuthakkan kepada Zoo Negara.

Sumbangan itu sebagai satu usaha jabatan berkenaan bagi membantu memastikan bekalan makanan haiwan mencukupi bagi keperluan zoo tersebut.

Iklan
Iklan

Maqis dalam satu kenyataan memaklumkan, daging tersebut membabitkan kes rampasan dari Januari hingga Mac 2021 dengan nilai keseluruhan sebanyak RM78,000.

Menurut kenyataan itu, sebanyak 740 karton atau sembilan tan ayam sejuk beku dengan anggaran RM72,000, manakala 520 kilogram (kg) daging kerbau sejuk beku bernilai RM6,000 telah dibawa masuk dari India.

Iklan

"Semua ayam sejuk beku ini dirampas ketika cuba dibawa masuk dari negara jiran ke Malaysia melalui pintu masuk Bukit Kayu Hitam, Kedah.

Ahmad Hamzah (dua dari kiri) melihat bekalan daging untuk diserahkan kepada Zoo Negara di Wisma Tani, Putrajaya pada Khamis.

"Daging kerbau sejuk beku pula dibawa masuk dari India melalui pintu masuk Pelabuhan Pangkalan Kontena Butterworth Utara (NBCT) Pulau Pinang," katanya pada Khamis.

Iklan

Penyerahan tersebut disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, Datuk Seri Ahmad Hamzah di Wisma Tani, Putrajaya.

Sehubungan itu, Maqis memberikan jaminan untuk memastikan segala isu-isu melibatkan aspek halal, keselamatan makanan, kawalan penyakit dan risiko kemasukan haiwan perosak yang boleh mengancam industri pertanian serta penternakan negara dapat dikawal.