SHAH ALAM - Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Malaysia mendakwa sebanyak 700,000 peniaga bazar Ramadan di Malaysia terjejas pada tahun ini.
Presidennya, Datuk Seri Rosli Sulaiman berkata, perkara tersebut berlaku disebabkan penularan pandemik Covid-19 yang semakin meningkat bermula awal Ramadan lagi.
"Kalau nak tanya nasib memanglah peniaga amat terkesan dengan tindakan kerajaan untuk membendung Covid-19.
"Peniaga sekarang tengah marah dengan kerajaan. Walaupun kita tahu indeks ini sedang meningkat, kita sepatutnya lebih uar-uarkan berkaitan SOP (prosedur operasi standard),” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Mengulas mengenai arahan penutupan bazar di beberapa lokasi, beliau berkata, tindakan yang dilakukan tersebut adalah tidak wajar dan perlu diperhalusi dengan lebih mendalam.
Ini kerana katanya, pada hujung Ramadan merupakan masa bagi peniaga untuk mendapatkan keuntungan melalui perniagaan mereka.
"Di penghujung puasa ialah untuk peniaga dapat keuntungan tetapi disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), peniaga tersebut akan rugi. Maksud saya, awal Ramadan mereka berniaga modal iaitu dapatkan modal, pusing modal dan waktu akhir ini untuk mereka dapatkan untung.
"Apabila kerajaan umum PKP 3.0, rakyat sukar untuk keluar beli barang mahupun makanan. Akhirnya peniaga yang akan rugi. Adalah lebih baik kalau kita halang sahaja peniaga berniaga dari awal daripada kita bagi dan akhirnya kita laksanakan PKP," katanya.
Pada Rabu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mengumumkan bazar Ramadan tidak dibenarkan beroperasi di enam daerah dikenakan PKP di negeri itu bermula Sabtu ini.
Enam daerah terlibat ialah daerah Hulu Langat, Petaling, Gombak, Klang, Kuala Langat dan Sepang.
Dalam pada itu, Rosli mencadangkan agar kerajaan dapat melanjutkan semula tarikh penutupan bazar tersebut bagi memastikan peniaga memperoleh keuntungan mereka.
Katanya, pihak penguasa juga perlu untuk sentiasa memantau secara terperinci dan lebih tegas terhadap SOP di bazar bagi mengelakkan penularan berlaku di tempat tersebut.
"Saya minta supaya kerajaan lanjutkan tarikh. Boleh buat PKP tapi buatlah selepas Ramadan. Hujung-hujung tu maknanya bermula dari raya. Semua penguat kuasa turun dekat tapak. Kawal mereka sampai akhir Ramadan,” katanya.