PANDANGAN bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad supaya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan selepas penggal Parlimen tamat pada 2023 adalah satu cadangan yang rasional.
Seperti yang dijelaskan pemimpin berusia 95 tahun itu, dengan mengadakan PRU15 selepas darurat, risiko penularan jangkitan akan lebih dahsyat disebabkan situasi Covid-19 yang membimbangkan.
Ditambah pula varian Covid-19 dari India yang sudah merebak dengan kesan mutasi berganda, sudah pasti jumlah jangkitan akan bertambah dengan drastik sekiranya pilihan raya umum diadakan tahun ini juga.
Ia turut disokong Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Muhammad Sanusi Md Nor yang mahu semua pihak memberi perhatian kepada cadangan itu bagi memastikan ancaman Covid-19 di Malaysia dapat diatasi segera.
Muhammad Sanusi juga tidak mahu kesilapan yang berlaku pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah berulang sekali lagi.
Jika disoroti, semasa PRN Sabah, pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) dilihat cukup jelas apabila penjarakan fizikal tidak diamalkan sepenuhnya.
Individu yang hadir juga ramai berada dalam jarak dekat iaitu kurang satu meter, malah sentuhan penumbuk berlaku dengan berleluasa, seolah-olah tidak bertentangan dengan SOP.
Ia berlanjutan ketika tempoh kempen bermula antara 12 September hingga tengah malam 25 September. Apa yang berlaku seakan-akan menunjukkan mereka lupa bahawa negara masih berdepan risiko serangan Covid-19.Disebabkan kelemahan itu, kes meningkat mendadak selepas 26 September.
Berbalik kepada penangguhan PRU, ia bukanlah satu tiket kepada kerajaan untuk memerintah tanpa sebarang pantauan daripada pihak pembangkang.
Sistem semak dan imbang perlu dikembalikan kerana jika tidak, banyak kelompongan dalam pentadbiran terutama dari segi pengurusan kes Covid-19 dan pengurusan kewangan tidak dapat dibahaskan.
Parlimen wajar dibuka kembali selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan di Kuala Lumpur berakhir pada 20 Mei ataupun apabila kes Covid-19 kembali menunjukkan penurunan ketara sebelum berakhirnya darurat pada bulan Ogos.
Adalah tidak wajar institusi penting dalam negara ditutup dan dinafikan peranannya dalam membawa suara rakyat terutama dalam keadaan genting seperti ini.
Malah, amat memalukan sekiranya kepentingan Parlimen terus diketepikan sedangkan di negara-negara lain, fungsi Parlimen berjalan seperti biasa tanpa sebarang sekatan.
Apabila Parlimen sudah berfungsi kelak, semua wakil rakyat seharusnya mengambil peluang berhujah dengan sebaiknya demi kepentingan rakyat.
Berilah tumpuan kerana walaupun berbeza pegangan politik, kadangkala pandangan pihak pembangkang adalah tepat dan bukan semua tindakan kerajaan adalah salah.
Kita tidak lagi boleh leka berpolitik kerana negara-negara jiran sudah mula meninggalkan kita dari segi kemajuan dan jumlah kemasukan pelaburan.
Negara juga memerlukan kesepakatan antara parti pemerintah dan pembangkang dalam soal hala tuju negara ketika menghadapi pandemik yang mencabar ini.
Banyak isu yang perlu diberi perhatian dengan segera misalnya keberkesanan pelaksanaan PKP, soal sistem kesihatan, aspek pendidikan yang tertangguh akibat Covid-19, masalah pengangguran, pendatang asing dan macam-macam lagi masalah.
Pendek kata, banyak isu yang memerlukan penyelesaian konkrit daripada pihak kerajaan dan pembangkang kerana tanpa tindakan segera dibimbangi menjadi satu isu besar yang menyebabkan rakyat Malaysia berdepan keadaan lebih sukar pada masa depan.
Semua wakil rakyat seharusnya mengambil peluang berhujah dengan sebaiknya demi kepentingan rakyat.
* Badruldin Zakaria ialah Timbalan Pengarang Berita Sinar Harian