‘Ia berlaku kerana kita (polis) membenarkannya’

Iklan

[MUKADIMAH] Isu campur tangan pemimpin politik dalam organisasi kepolisan menggegarkan Malaysia baru-baru ini selepas bekas Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Abdul Hamid Bador tanpa berselindung membongkar kemelut yang membelenggu pasukan sang saka biru.

Selain mengakui tidak mempunyai hubungan harmoni dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin, KPN ke-12 itu turut mendakwa Hamzah telah mengarah dan cuba menggunakan Jabatan Cawangan Khas, Bukit Aman untuk menjalankan operasi di luar urusan keselamatan negara.

Iklan
Iklan

Wartawan Sinar Harian, Nurul Nabila Ahmad Halimy mendapatkan salah seorang bekas KPN yang paling disegani, Tan Sri Musa Hassan bagi mengupas krisis Hamid-Hamzah dan sejauh mana tangan-tangan ghaib ahli politik telah mencampuri operasi serta urusan polis selama ini.

SINAR HARIAN: Apakah pandangan Tan Sri tentang isu berkaitan pendedahan dan dakwaan Tan Sri Abdul Hamid mengenai campur tangan politik dalam pasukan polis termasuklah menteri mempengerusikan Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP)?

Iklan

MUSA: Berkaitan kenaikan pangkat oleh SPP, ia tidak boleh dianggap sebagai campur tangan oleh menteri. Ini kerana SPP dianggotai oleh sembilan orang dan mereka membuat keputusan bersama. Bagi jawatan Ketua Polis Negara dan Timbalan Ketua Polis Negara perlu mendapat persetujuan Perdana Menteri dan Yang di-Pertuan Agong.

Bagi pegawai kanan, ia adalah keputusan SPP. Perwakilan kuasa diberi kepada KPN dan Ketua Polis Negeri serta Pengarah Jabatan untuk pertukaran, kenaikan pangkat dan tindakan disiplin bagi inspektor hingga konstabel polis.

Iklan

Pada pandangan Tan Sri, sejauh mana keseriusan campur tangan politik dalam institusi kepolisan negara? Dan setakat manakah sebenarnya campur tangan menteri dalam pasukan polis?

Bagi saya, campur tangan orang politik dalam institusi kepolisan selalunya berkaitan dengan tugas yang dijalankan.

Ia termasuklah meminta saman dibatalkan, meminta rakan mereka yang melakukan kesalahan dibebaskan dan memberi arahan kepada pegawai bawahan tanpa pengetahuan ketua.

Selain itu, terdapat juga campur tangan perolehan yang diperlukan oleh jabatan dengan membubarkan sesuatu bahagian, cawangan atau jabatan di atas alasan ada pertindihan kerana penubuhan sesuatu agensi penguatkuasaan yang baru.

Baru-baru ini, Tan Sri Abdul Hamid membuat pendedahan terbaru iaitu menteri cuba menggunakan salah satu cabang institusi kepolisan Cawangan Khas untuk kerja-kerja politik bukan keselamatan negara. Apa komen Tan Sri mengenainya?

Selalunya menteri tidak boleh menggunakan institusi kepolisan (cawangan khas) atau mana mana jabatan untuk kepentingan peribadi. Ia berlaku apabila ketua jabatan membenarkannya.

Jika pengarah jabatan berkenaan membenarkan tanpa pengetahuan KPN, itu adalah satu perbuatan yang salah.

Setiap perjalanan operasi perlu dimaklumkan dan mendapat kebenaran daripada KPN.

Musa Hassan (tengah) menjadi KPN kelapan antara tahun 2006 sehingga tahun 2010.

Adakah terdapat tekanan dan campur tangan politik daripada pihak menteri atau mana-mana individu ketika zaman Tan Sri menjadi Ketua Polis Negara yang berkemungkinan mengubah keputusan atau cadangan yang sepatutnya ditetapkan oleh ketua polis sendiri?

Pada zaman saya lagi memang sudah wujud permintaan sedemikian, tetapi saya membantah.

Antara campur tangan politik yang diarah oleh mereka adalah seperti membubarkan cawangan Marin kerana telah wujud Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Selain itu, menyerahkan penguatkuasaan undang-undang dadah kepada Agensi Anti Dadah Kebangsaan, namun saya tidak mematuhi cadangan tersebut.

Secara keseluruhannya, terdapat pelbagai arahan yang melanggar peraturan dan undang undang yang dibantah oleh saya secara tegas.

Pada pandangan Tan Sri, apakah transformasi yang perlu dibuat untuk memastikan pasukan polis bukan menjadi alat atau senjata ahli politik?

Saya bernasib baik kerana pada masa saya ingin membuat transformasi dalam pasukan polis, Tun Abdullah Badawi ialah Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri.

Oleh itu, beliau memberi sokongan penuh untuk transformasi PDRM.

Antara transformasi yang dilakukan dan masih wajar dilaksanakan adalah menambah balai polis dan penyewaan kedai untuk dijadikan balai polis.

Kedua, menambah balai polis bergerak dan pondok polis di kawasan-kawasan strategik bandar raya agar dapat membantu masyarakat untuk membuat laporan polis. Seterusnya, menambah kereta peronda dan motosikal untuk mewujudkan police presence bagi cegah jenayah.

Kami juga berpeluang untuk mewujudkan hubungan kerjasama yang erat dengan semua jabatan penguat kuasa undang undang seperti kastam, imigresen, tentera dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah agar dapat meningkatkan pengumpulan maklumat dan mengambil tindakan bersama.

Pada zaman saya menjadi ketua polis, telah wujud Jabatan Anti-Terrorism untuk menyiasat aktiviti berkaitan wang haram. Bagaimanapun, selepas saya bersara, jabatan ini dibubarkan.

Selain itu, gaji anggota polis turut dinaikkan dan terdapat penyusunan semula pasukan polis.

Perdana Menteri pada ketika itu turut memberi sokongan untuk mengambil tindakan terhadap sindiket kegiatan haram yang menjalankan aktiviti pelacuran, judi, pinjaman wang tanpa lesen, pengedaran dadah dan penyeludupan manusia.