SHAH ALAM - Seorang peniaga bazar Ramadan mengakui perniagaannya pada tahun ini mengalami kerugian sehingga 50 peratus disebabkan prosedur operasi standard (SOP) di bazar lebih ketat.
Ruziah Mohd Shah, 49, yang berniaga di Bukit Puchong, Petaling berkata, SOP ketat menyebabkan pengunjung enggan hadir ke kawasan itu.
"Saya berniaga cendol, laksa dan asam pedas. Kalau diikutkan, sehari saya bolehlah cecah RM500 tapi sekarang ini, jualan hanya RM100 hingga 200 sahaja.
"Pada Rabu, cendol hanya terjual sedikit sahaja, laksa pula dijual 10 paket. Duit hasil berniaga itu akan digunakan untuk buat pusingan modal dan bayar upah anak-anak,” katanya pada Khamis.
Menurutnya, dia kini juga terpaksa akur dengan arahan penutupan bazar Ramadan seperti yang diumumkan kerajaan negeri.
"Lepas ini, saya pun tidak tahu hendak berniaga di mana lagi. Barang niaga banyak lagi tidak digunakan,” katanya.
Ruziah berkata, dia juga terpaksa mengeluarkan wang simpanannya untuk menjalankan perniagaan bagi menyara keluarganya.
"Perancangan lain setakat ni tiada lagi.
"Kalau kata boleh berniaga, saya berniaga. Kalau tak boleh, saya usahakan cara lain. Saya harap kerajaan dapat mendengar rintihan peniaga ini,” katanya.