Atlet berusia 35 tahun dari Pulau Pinang itu, yang menduduki ranking dunia selama sembilan tahun berkata, beliau sudah lama memikirkan perkara itu dan mengerti bahawa musim kali ini akan menjadi kejohanannya yang terakhir.
"Saya telah berjuang jiwa dan raga untuk kekal berada di puncak perlawanan sekian lama...saya rasakan saya hanya ada musim terakhir ini untuk beraksi sebaik mungkin sebelum saya memasuki fasa kehidupan yang seterusnya.
"Bersaing dalam jelajah dan berada dalam venue yang menakjubkan di seluruh dunia adalah perkara pertama yang saya akan rindu. Bagaimanapun, saya akan memanfaatkannya sebaik mungkin selama beberapa bulan ini.
"Sejujurnya saya mengatakan berada di kedudukan nombor satu selama sembilan tahun berturut-turut adalah pencapaian paling menonjol buat diri saya. Saya tidak pernah memahami sepenuhnya sehinggalah saya tidak berada di situ lagi. Saya sangat bangga dengan pencapaian ini,” katanya dalam kenyataan yang dimuatkan dalam laman sesawang PSA, www.psaworldtour.com.
Juara Dunia lapan kali itu yang bermain skuasy seawal usia 5 tahun, telah menggondol tiga pingat emas Sukan Dunia, lima emas Sukan Asia, dua pingat emas Sukan Komanwel dan dua gelaran Terbuka British sepanjang 20 tahun mewakili Malaysia.
Nicol yang menjadi pemain profesional pada 2000, merupakan juara remaja dunia termuda apabila beliau memenangi Kejohanan Skuasy Remaja Dunia 1999 di Antwerp, Belgium pada usia 15 tahun.
Walaupun bersara sebagai atlet, Nicol berjanji akan menyumbang kembali kepada sukan skuasy dalam tiga cara.
"Saya cintakan skuasy sepenuh hati saya, dan ia sentiasa memainkan peranan penting dalam hidup saya kerana itulah sebabnya saya akan memberi sumbangan dalam tiga cara. Saya akan bekerja rapat dengan PSA untuk meningkatkan kesedaran terhadap sukan ini di peringkat global dan membina pasukan sokongan untuk atlet skuasy profesional kita.
"Membantu generasi muda Malaysia menerusi Yayasan Nicol David yang bertujuan memperkasakan wanita melalui sukan untuk mencapai potensi diri mereka, dan kepada rakyat Malaysia saya akan berkongsi kisah saya ‘Nurturing Belief’ menerusi siri ceramah dan penulisan,” katanya.
Nicol turut berterima kasih kepada Kementerian Belia dan Sukan, Majlis Sukan Negara, Institut Sukan Negara, Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang serta Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM), Persatuan Raket Skuasy Pulau Pinang (SRAP) dan Akademi Skuasy Pulau Pinang terhadap sokongan yang diberi sepanjang karier beliau.
"Dan sudah tentu, pasukan sokongan dan teknikal saya dengan (jurulatih) luar biasa Liz Irving yang bersama saya selama 16 tahun - perjalanan ini sangat hebat.
"Terima kasih kepada semua peminat, penyokong dan pengikut yang mengikuti perjalanan saya selama ini. Saya ingin menikmati beberapa kejohanan terakhir saya bersama semua orang dan saya ingin anda terus menjadi tulang belakang saya. Impian itu terus kekal,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PSA, Alex Gough berkata Nicol adalah seorang daripada pemain skuasy terhebat dan kehadirannya dalam jelajah itu pasti akan dirindui.
"Beliau telah memberi inspirasi kepada pemain generasi Malaysia dan melakar sejarah sebagai satu daripada tokoh paling ikonik dalam sukan skuasy. Nicol sentiasa mempamerkan tahap profesionalisme di luar dan dalam gelanggang dan semua di PSA mengucapkan yang terbaik buat masa depannya,” katanya.
Nicol akan beraksi dalam Kejohanan Dunia ke-9 dan terakhir buat beliau di Chicago dari 23 Februari hingga 2 Mac ini. - Bernama