Kemarau: Rakyat Pulau Pinang dinasihat jimat air

Iklan
Empangan Air Itam yang mengalami penurunan kapasiti efektif dengan ketara kerana musim kemarau.

GEORGETOWN- Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) menasihatkan orang ramai agar berjimat dan mengurangkan penggunaan air pada waktu ini.

Ketua pegawai eksekutifnya, Datuk Jaseni Maidinsa berkata, ia berikutan cuaca panas dan kemarau yang melanda negara ini termasuk Pulau Pinang.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kapasiti efektif Empangan Air Itam didapati menurun sebanyak 24.9 peratus dalam tempoh lebih sebulan iaitu 1 Januari hingga 18 Februari.

"Kapasiti efektif bagi empangan itu turun daripada 92.2 peratus kepada 67.3 peratus bagi tempoh tersebut. Bagi Empangan Teluk Bahang pula, kapasitinya didapati naik 0.3 peratus iaitu dari 78.8 peratus ke 79.1 peratus.

Iklan

"Taburan hujan yang rendah merupakan sebab utama penurunan drastik pada kapasiti efektif Empangan Air Itam. Dalam tempoh lebih sebulan itu, tolok taburan hujan di empangan ini mencatatkan hanya 94 milimeter hujan," katanya menerusi kenyataan media tadi.

Tambahnya, sebagai perbandingan, tolok taburan hujan di Empangan Teluk Bahang mencatatkan 172.5 mm hujan sejak 1 Januari lalu.

Iklan

"PBAPP telah melaksanakan langkah-langkah kawalan bekalan air musim kemarau untuk memastikan bekalan air berterusan sehingga tiba musim hujan. Empangan Air Itam menyimpan air mentah yang digunakan untuk operasi bekalan air di bandar Air Itam dan kawasan sekitarnya.

"Didapati, penggunaan air yang tinggi adalah disebabkan sekunder untuk penurunan ketara dalam kapasiti efektif Empangan Air Itam sejak 1 Januari lalu. Pada tahun lalu, dalam tempoh sama, purata pengambilan air harian dari Empangan Air Itam adalah 0.15 peratus daripada kapasiti efektif setiap hari.

"Oleh itu, jelas menunjukkan penggunaan air di bandar Air Itam dan kawasan sekitarnya meningkat disebabkan keadaan cuaca panas dan kering, selain dua sambutan perayaan baru-baru ini," katanya.

Jaseni berkata, tahap penggunaan air yang tinggi dilihat berada di tahap agak gawat terutamanya apabila simpanan air mentah di Empangan Air Itam mengalami penurunan yang ketara.

"Sehubungan itu, PBAPP memohon kerjasama dan timbang rasa daripada semua pengguna air di Air Itam dan kawasan sekitarnya agar berjimat cermat dalam penggunaan air mentah dalam kehidupan seharian.

"Rakyat juga perlu memainkan peranan untuk menyokong dasar tiada catuan air Pulau Pinang. Kita tidak boleh meramalkan dengan tepat bila hujan akan tiba untuk mengisi semula Empangan Air Itam ini," katanya.