Padah buat laporan palsu, lelaki didenda RM2,000

Iklan

KLANG - Seorang pemandu lori didenda maksimum RM2,000 oleh Mahkamah Majistret, di sini pada Jumaat kerana membuat laporan palsu kononnya cermin keretanya telah pecah dan menyebabkan kehilangan dokumen penting, barang kemas dan sejumlah wang tunai.

Majistret P Sarulatha menjatuhkan hukuman itu ke atas Zulfadhli Rosli, 32, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan itu dan memerintahkannya menjalani hukuman penjara tiga bulan, jika gagal membayar denda.

Iklan
Iklan

Zulfadhli dituduh telah membuat laporan palsu bahawa cermin belakang kirinya telah dipecahkan dan beg galas di dalam kereta yang mengandungi dokumen sijil kelahiran anaknya, sijil nikah, lima utas gelang tangan, lima bentuk cincin, lapan utas rantai leher, dua pasang subang dan wang tunai RM31,000 telah hilang.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Balai Polis Pandamaran, dekat sini pada 4 Mei lepas mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM2,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya.

Iklan

Timbalan Pendakwa Raya Evangelin Simon Silvaraj sebelum itu memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran kepada tertuduh.

Bagaimanapun, peguam Mohd Norazihan Adnan yang mewakili tertuduh memohon hukuman minimum dengan alasan ini merupakan kesalahan pertama anak guamnya dan dia juga menyesal atas perbuatannya itu.

Iklan

"Dia juga berjanji tidak akan mengulangi kesilapannya memandangkan hal itu berlaku kerana salah faham dengan isterinya,” kata peguam itu.