Imigresen gempur ladang cili

Iklan

ALOR SETAR - Jabatan Imigresen Kedah menahan 11 warga asing termasuk seorang kanak-kanak dalam 'Op Bersepadu' yang dijalankan di beberapa premis perniagaan, kediaman serta ladang cili di sekitar daerah Pokok Sena, semalam.

Pengarahnya, Zuhair Jamaludin berkata, mereka ditahan kerana melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c), Akta Imigresen 1956/63 (Akta 155) kerana tidak memilki dokumen perjalanan yang sah, Seksyen 15(1)(c) tinggal lebih masa dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar atau tidak mematuhi syarat pas atau permit kerja.

Iklan
Iklan

"Mereka yang ditahan adalah seorang lelaki Pakistan, dua lelaki Indonesia, empat lelaki Myanmar, dua lelaki dan seorang wanita warga Kemboja serta seorang kanak-kanak perempuan Kemboja berusia dua tahun,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Zuhair berkata, kesemua yang ditahan berusia antara dua tahun hingga 40 tahun kini ditempatkan di lokap Imigresen, Bangunan Kementerian Dalam Negeri, Alor Setar untuk siasatan lanjut sebelum dihantar ke Depoh Tahanan Imigresen Belantik, Sik.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, 85 warga asing telah diperiksa dalam operasi itu yang bermula 8.30 pagi hingga 7.30 malam. - Bernama