Pemilik kilang dipenjara, denda RM85,000 simpan minyak pelincir terpakai

Iklan
Pemilik kilang dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM85,000 selepas mengaku bersalah atas empat pertuduhan di Mahkamah Sesyen Sepang.

SEPANG - Seorang pemilik kilang dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda berjumlah RM85,000 oleh Mahkamah Sesyen, di sini selepas mengaku bersalah melakukan penyimpanan minyak pelincir terpakai tanpa kelulusan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Hakim Noorhisham Jaafar membuat keputusan itu terhadap tertuduh berusia 37 tahun yang merupakan pemilik tunggal kilang terbabit.

Keadaan di kilang milik tertuduh yang menyimpan minyak pelincir terpakai tanpa kelulusan JAS.

Iklan
Iklan

Bagi pertuduhan pertama, pemilik berkenaan didapati telah menempatkan barangan terjadual itu di premisnya pada 24 Oktober 2019 tanpa mendapatkan kelulusan daripada Ketua Pengarah Alam Sekeliling seperti diperuntukkan bawah Seksyen 34B(1)(a), Akta Kualiti Alam Sekililing 1974.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, tertuduh didapati menjalankan aktiviti tanpa kelulusan Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) serta gagal mendapatkan kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah di bawah Seksyen 19(a), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Iklan

Untuk pertuduhan terakhir, pemilik berkenaan turut melakukan kesalahan apabila dikenal pasti menjalankan aktiviti berkenaan tanpa sebarang lesen premis.

Dalam pada itu, Pengarah JAS Selangor, Nor Aziah Jaafar berkata, pihaknya akan sentiasa mengambil tindakan tegas tanpa sebarang kompromi terhadap penjenayah alam sekitar.

Iklan

"Saya juga berterima kasih kepada orang awam yang membantu memberi maklumat tentang aktiviti-aktiviti pencemaran alam ini," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Orang awam yang ingin melaporkan sebarang aktiviti pencemaran alam sekitar boleh menghubungi talian bebas tol 1-800-88-2727 yang beroperasi 24 jam sehari atau emel ke aduan_k@doe.gov.my dan portal JAS di https://eaduan.doe.gov.my.