SHAH ALAM - Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyenaraikan tiga perkara yang sepatutnya dilakukan atau dipertimbangkan oleh Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin tentang pendidikan negara ini di era pandemik yang melanda negara.
Menurutnya, pertama adalah dengan mewujudkan jawatankuasa khas bagi mengkaji pendekatan dan polisi terbaik pendidikan negara era pandemik.
"Jawatankuasa ini mesti meneliti keperluan dan jalan keluar yang praktikal dan radikal. Bukannya sekadar membincangkan sama ada membuka atau menutup sekolah mengikut jumlah kes harian Covid-19.
"Semak dan bangunkan pendekatan terbaik untuk diguna pakai oleh sistem persekolahan agar pembelajaran tidak terbantut sekalipun dalam era pandemik,” katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.
Mohamed Khaled berkata, sasaran pendekatan atau perubahan polisi yang diusulkan mesti menjangkau jauh sehingga lima tahun ke depan.
"Bukannya mengeluarkan saranan untuk dua bulan akan datang. Malah, inilah masa terbaik untuk menyelaras dan menyusun semula peruntukan pendidikan kita agar perbelanjaan terbesar negara ini benar-benar dimanfaatkan dengan cara yang menampakkan hasil,” katanya.
Katanya, perkara kedua yang perlu dilakukan adalah mengoptimumkan penglibatan semua pihak dalam mewujudkan ekosistem pendidikan era pandemik yang anjal dan berkesan.
"Isu pendidikan adalah isu nasional yang merentas ideologi, bangsa dan kasta sosial. Semua pihak mesti terlibat dan membantu.
"Sudah tiba masanya untuk menteri kanan menyantuni pihak-pihak lain seperti Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), pemain industri, penyedia teknologi pendidikan, platform pembelajaran dalam talian, penyedia tuisyen swasta, badan bukan kerajaan (NGO), persatuan penduduk setempat dan pelbagai gerakan sukarelawan,” katanya.
Beliau yang merupakan bekas Menteri Pengajian Tinggi berkata, pedagogi dan sistem penilaian yang digunakan juga mesti berubah.
"Itu belum lagi kita bercakap tentang keperluan sekolah untuk dilengkapkan dengan tenaga dan sumber manusia dalam aspek kaunseling, moral dan kesihatan mental yang kini merupakan isu genting.
"Pada masa yang sama, adalah kritikal agar Murid Berkeperluan Khas (MBK) tidak diabaikan sama sekali,” jelasnya.
Perkara ketiga menurut Mohamed Khaled adalah sekiranya Mohd Radzi telah kekontangan idea, beliau tidak perlu segan dan teragak-agak untuk mencontohi dan mengambil pedoman dari negara lain.
Mengambil contoh Kementerian Pendidikan, Budaya, Sukan, Sains dan Teknologi Jepun pada September 2020, Mohamed Khaled berkata, negara itu telah memperuntukkan fokus yang serius untuk menambah kakitangan dan sumber tenaga manusia sokongan kepada semua institusi pendidikan.
"Bagi memastikan proses pembelajaran semasa pandemik berjalan lancar tanpa terlalu membebankan guru.
"Malangnya, kita tidak pernah mendengar sekali pun tentang pertambahan kakitangan dan guru bantuan di negara kita.
"Barangkali Menteri Kanan Pendidikan berpandangan semakin banyak sekolah ditutup, maka semakin sedikitlah guru yang diperlukan. Sedangkan realiti adalah sebaliknya,” katanya.
Tegasnya, tidak ada pihak yang menyatakan bahawa era pandemik adalah era yang mudah sebaliknya ia merupakan zaman sukar.
"Namun, ini bukan alasan untuk kita mengambil mudah sistem dan keberkesanan pendidikan. Benar, sekarang ini era pandemik. Namun, sekolah jangan sesekali dibiar ‘sakit’,” katanya.