Waris pendeposit SSPN-i terima manfaat perlindungan takaful

Iklan
Noraini (dua dari kanan) dan Ahmad Dasuki (kiri) beramah mesra bersama suami Allahyarhamah, Hazeri Abdul Hamid (kanan) semasa menziarahi beliau di kediamannya di Tanjung Tualang, Perak.

SHAH ALAM - Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyerahkan manfaat perlindungan takaful kepada dua waris pendeposit Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) yang telah meninggal dunia menerusi program Ziarah PTPTN Prihatin.

PTPTN dalam satu kenyataan pada Jumaat berkata, selain daripada pemberian manfaat perlindungan takaful yang bersamaan dengan jumlah simpanan, kedua-dua waris tersebut turut menerima khairat kematian.

Iklan
Iklan

"Kunjungan pertama pada 27 April 2021 lalu adalah ke rumah suami kepada Allahyarhamah Wan Natrah binti Meor Abd Malik di Tanjung Tualang, Perak.

"Wan Natrah yang merupakan pendeposit SSPN-i yang membuka akaun pada 31 Disember 2013 untuk seorang anak lelaki beliau.

Iklan

"Ketika disahkan meninggal dunia, dia mempunyai simpanan SSPN-i yang melayakkan beliau menerima manfaat perlindungan takaful percuma berjumlah RM3,122.56 yang bersamaan dengan jumlah simpanan serta khairat kematian sebanyak RM2,000,” menurut kenyataan itu.

Untuk Ziarah PTPTN yang kedua pada 3 Mei 2021 pula, tabung pendidikan itu telah mengunjungi rumah isteri Allahyarham Muhamad Ashraf Abdullah di Gemencheh, Negeri Sembilan yang meninggal dunia akibat kegagalan jantung pada 5 Julai 2017 ketika berumur 55 tahun.

Iklan

"Muhammad Ashraf merupakan pendeposit SSPN-i telah membuka akaun pada 8 Januari 2014 untuk anak perempuannya.

"Ketika disahkan meninggal dunia, dia mempunyai simpanan SSPN-i yang melayakkannya menerima manfaat perlindungan takaful percuma dengan jumlah RM2,247.48 yang bersamaan dengan jumlah simpanan di samping khairat kematian sebanyak RM2,000,” katanya.

Kedua-dua penyerahan berkenaan disempurnakan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dengan diiringi Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid.

PTPTN berkata, meskipun nilai manfaat tersebut tidak dapat menggantikan kasih sayang dan tanggungjawab sebagai seorang ibu atau bapa, namun ia sedikit sebanyak dapat menampung kos pendidikan anak-anak yang ditinggalkan.

"Inilah keistimewaan SSPN-i yang memberikan manfaat perlindungan takaful percuma secara ringgit ke ringgit kepada pendeposit yang mempunyai simpanan RM1,000 dan ke atas jika berlaku kematian atau ilat kekal menyeluruh kepada mereka.

"Sehingga 31 Mac 2021, sebanyak 2,985 tuntutan telah dibayar dengan jumlah manfaat perlindungan takaful dan khairat kematian percuma sebanyak RM19.08 juta.

"Kedua-dua pendeposit telah membuat pilihan yang tepat dengan membuat perancangan kewangan untuk masa depan pendidikan anak-anak melalui SSPN-i bagi memastikan pendidikan dan masa depan anak-anaknya terus terjamin walaupun mereka telah tiada,” ujarnya.

Dalam pada itu, PTPTN memaklumkan SSPN-i turut menawarkan keistimewaan lain kepada pendeposit seperti pelepasan taksiran cukai pendapatan sehingga RM8,000 setahun, dividen yang kompetitif, simpanan dijamin oleh kerajaan, pemberian geran sepadan sehingga RM10,000 untuk satu keluarga dan patuh syariah.

"SSPN-i diperkenalkan oleh PTPTN yang merupakan tabung pendidikan utama negara di bawah Kementerian Pengajian Tinggi sewajarnya dimiliki oleh setiap isi rumah kerana menawarkan pelbagai keistimewaan dan manfaat yang baik dan menyeluruh.

"Layari www.lovesspn.com untuk membuka akaun SSPN-i,” jelas kenyataan itu lagi.