Hari terakhir bazar Ramadan: Peniaga sedekah makanan tak terjual

Iklan
Orang ramai membeli juadah berbuka puasa ketika tinjauan di Bazar Ramadan Kompleks PKNS Shah Alam pada Rabu. - Foto Bernama

SHAH ALAM - Para peniaga Bazar Ramadan di Kompleks Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) pasrah dengan arahan penutupan perniagaan bazar Ramadan yang bermula esok susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sini yang juga meliputi enam daerah lain di Selangor.

Tinjauan Bernama mendapati masih ramai pengunjung hadir dan beratur panjang untuk membeli juadah berbuka puasa di kompleks tersebut dengan kebanyakan peniaga telah merancang untuk menjual barangan harga juadah makanan mereka dengan harga lelong kira-kira 10 minit sebelum masuk waktu Maghrib dan kemudiannya menyedekahkan baki jualan makanan.

Iklan
Iklan

Seorang peniaga Harziani Samani, 35, yang menjual nasi tomato ayam percik berkata, harga biasa sebungkus adalah RM7 dan jika dilelong ia berharga RM5 sepaket dan tidak mengenakan bayaran bagi nasi tomato.

"Kami berasa sedih sebab tidak dapat meniaga sampai hujung Ramadan namun bersyukur kerana penjualan kami agak memberangsangkan berbanding peniaga yang lain yang setakat ini ada yang belum mendapat balik modal perniagaan mereka,” katanya kepada Bernama.

Iklan

Seorang peniaga ayam bakar perap, Harris Baharom, 45, berkata, dia pada mulanya tidak bersetuju dengan pelaksanaan semula PKP namun selepas melihat angka kes jangkitan harian Covid-19 yang semakin tinggi, bagi beliau adalah lebih baik mencegah daripada merawat.

"Ramai tidak ikut prosedur operasi standard (SOP), kadang-kadang beratur pun tidak ada jarak, maka lebih elok batalkan bazar Ramadan,” katanya.

Iklan

"Lepas ini perancangan saya hanya akan duduk di rumah lepas bazar Ramadan ditutup, Hari Raya pun tidak dapat ke mana-mana kerana PKP, tetapi tidak mengapa Hari Raya jika tidak begitu meriah selama satu atau dua tahun, sekurang-kurangnya tidak teruk seperti di India.. masih bersyukur,” katanya. - Bernama