KUANTAN - Pengumuman menarik balik moratorium aktiviti bauksit oleh Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS) di Kuantan akhir Mac ini, membimbangkan penduduk.
ADUN Berserah, Andansura Rabu berkata, ini kerana terdapat banyak persoalan yang menjadi teka-teki dalam Prosedur Operasi Standard (SOP) baharu yang akan dilaksanakan kelak.
"Kebimbangan di pihak saya masih ada. Pertama bila saya tengok kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh yang mempertikaikan tindakan kerajaan dan KATS, tidak memaklumkan pengumuman apa SOP baharu yang telah diperkenalkan.
"”Persoalan kedua, apa yang kerajaan telah lakukan untuk tempoh tiga tahun moratorium ini dilaksanakan. Apakah pembaharuan yang dibuat? Apa jaminan pihak kerajaan tidak akan berlaku lagi pencemaran seperti mana sebelum ini? Sebab kita tak nampak,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Bauksit kembali operasi
Menurutnya, beliau dan penduduk di kawasan Berserah yang terlibat secara langsung ini, ingin melihat terlebih dahulu jaminan pihak kerajaan dan pembaharuan yang akan dibuat sebelum moratorium dibatalkan atau ditarik.
Beliau berkata, isu ketiga adalah berkaitan kekurangan penguatkuasaan dan kakitangan dalam memantau aktiviti perlombongan tersebut.
"Adakah isu-isu yang berlaku sebelum ini seperti kekurangan penguatkuasaan dan kakitangan telah diatasi sebelum aktiviti bauksit ini bermula semula? Kita tidak mahu alasan yang sama diguna pakai.
"Tak cukup orang, tak ada kakitangan, tak ada aset, untuk membuat pemantauan dan sebagainya. Akhirnya masalah sama akan berulang.
"Keempat, kita juga nak tengok dan nak tahu bahawa tidak ada percanggahan dari segi bidang tugas antara agensi-agensi kerajaan. Kita tidak mahu nanti pihak agensi menuding jari antara satu sama lain kerana tidak jelas dengan bidang tugas dan tanggungjawab masing-masing.
"Kita harap pembatalan moratorium ini hanya boleh dilakukan selepas keempat-empat perkara itu dapat memuaskan hati dan diberikan penjelasan,” katanya.