AWANG dapat bayangkan bagaimana kelam-kabutnya rakyat dengan beberapa keputusan yang dibuat berhubung PKP yang baru diumumkan.
Macam tidak difikirkan masak-masak keputusan itu. Seperti dalam kes Kuala Lumpur, keputusan hanya dibuat pada saat terakhir.
Begitu juga yang babitkan peniaga bazar Ramadan. Khabarnya akibat perlaksanaan SOP yang tak seragam, keadaan jadi tak menentu.
Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Malaysia dakwa beribu ahlinya terjejas teruk.
Mereka sebahagian besarnya peniaga kecil yang nak cari sesuap nasi.
Menurut Presidennya, Datuk Seri Rosli Sulaiman, pada penghujung bulan puasalah peniaga bazar nak buat duit. Itulah masa jualan terbaik.
Patutnya SOP diperketatkan bukan bazar Ramadan ditutup terus.
Awang juga dapat khabar ada pesta jualan di World Trade Centre KL (dulu PWTC) yang patut diadakan dari 7 hingga 9 Mei tapi dibatalkan juga.
Mereka yang terlibat dah buat persiapan. Maklumlah macam-macam kuih-muih dan kek yang sudah disediakan.
Tentulah ramai yang terduduk dengan keputusan itu.
Tan Sri Annuar Musa pula khabarnya keluar arahan di Kuala Lumpur bazar Ramadan akan dibenarkan. Jadi makin kacau-bilau jadinya.
Menteri Besar Selangor tak benarkan di Selangor, di KL dibenarkan pula. Siapa yang berkuasa dalam soal ini?