SENAI - Sebuah bas sekolah yang dinaiki 38 murid berdepan detik cemas apabila secara tiba-tiba kenderaan itu terbakar di Jalan Senai menghala Desaru, di sini, pagi tadi.
Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa melibatkan 20 kanak-kanak lelaki dan 18 kanak-kanak perempuan bersama seorang pemandu dalam kejadian tersebut.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Baru Kulai, Penolong Penguasa Bomba Mohd Fauzi Awang berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 7.40 pagi.
"Sebaik menerima panggilan kecemasan, satu jentera bersama tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Baru Kulai dikejarkan ke tempat kejadian.
"Kebakaran berlaku ketika bas berkenaan dalam perjalanan menghantar pelajar ke Sekolah Sri Omega, Senai.
"Tiada kecederaan yang berlaku," katanya.
Beliau berkata, punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.