Tak selesai gaji, pemain cabut lari

Iklan
Laporan Sukan Sinar pada 16 April lalu.

BELUM reda masalah pembayaran gaji, Perak FC terus dipalit kontroversi terbaharu apabila beberapa tonggak utama mereka dilaporkan sudah sedia ‘mengangkat kaki’ dalam masa terdekat.

Malah, perkhabaran kapten, Shahrul Saad dan penyerang naturalisasi, Guilherme de Paula yang mahu meninggalkan Perak FC menambahkan lagi cerita di luar padang betapa The Bos Gaurus kini dalam situasi terumbang-ambing.

Iklan
Iklan

Difahamkan, ada beberapa pemain utama lagi dikatakan bakal mengikut jejak langkah Shahrul dan de Paula sekiranya masalah pembayaran gaji yang tertunggak selama dua bulan tidak diselesaikan dalam masa terdekat.

Menurut sumber terdekat Perak FC, ramai pemain The Bos Gaurus termasuk yang kerap memanaskan bangku simpanan musim ini sudah bersedia untuk menerima tawaran daripada mana-mana kelab walaupun perlu beraksi dalam saingan Liga Premier.

Iklan

Menurut sumber berkenaan lagi, pemain telah memberikan tempoh secukupnya kepada pengurusan Perak, namun sehingga kini masalah tunggakan gaji berkenaan masih belum dapat diselesaikan.

"Sebenarnya sejak awal musim, pemain dah bagi peluang. Bila isu ini tidak dibangkitkan seolah-olah tiada apa yang berlaku. Tetapi bila ada yang bersuara, baru pihak pengurusan nak ‘menggelupur’.

Iklan

"Malangnya masalah gaji tak juga selesai-selesai sampai hari ini. Selama ini pemain dah bagi masa dan mereka banyak berdiam diri tetapi sampai bila... takkan nak diam lagi?

"Jika masih berlarutan, jangan terkejut kalau ada lagi pemain yang menyatakan hasrat mereka untuk tinggalkan Perak. Mungkin Shahrul dan de Paula itu hanya pencetus sebelum ramai lagi yang keluar,” kata sumber berkenaan kepada Sukan Sinar pada Jumaat.

Jendela perpindahan pemain Liga Malaysia (Liga-M) sudah dibuka sejak Isnin lalu hingga 30 Mei ini dan difahamkan, pemain-pemain Perak FC hanya menunggu masa untuk mengubah haluan baharu.

"Sehingga hari ini, hanya gaji bagi bulan Februari yang dibayar tetapi bagi gaji bulan Mac dan April masih tertunggak. Harap pengurusan menunaikan janji mereka untuk melunaskan gaji pemain sebelum Hari Raya nanti.

"Jangan aniaya pemain kerana mereka sudah menjalankan tanggungjawab masing-masing dengan cukup profesional. Sampai masanya pengurusan pula yang menjalankan tanggungjawab melunaskan gaji yang masih tertunggak,” ujar sumber itu lagi.