'Buka tutup, buka tutup sampai bila?'

Iklan
Roslin - FOTO SINAR HARIAN

MAJLIS Keselamatan Negara (MKN) diminta mengambil kira suara pengusaha dan operator sukan sebelum membuat sebarang keputusan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pemilik Kelab Badminton Roslin Hashim (RHBC), Roslin Hashim berkata, MKN seharusnya memperhalusi setiap prosedur operasi standard (SOP) terhadap sektor serta aktiviti sukan dan rekreasi di negara ini.

Iklan
Iklan

"Sampai bila pengusaha sukan dan rekreasi di kawasan PKP nak buka tutup, buka tutup operasi masing-masing setiap kali berdepan peningkatan kadar kes Covid-19 sebab ini sudah masuk PKP ketiga.

"Bayangkan ini kali ketiga PKP dilaksanakan sepanjang tempoh Covid-19 dan sepatutnya MKN sudah memiliki pelan kondusif tanpa perlu menutup terus operasi walaupun bersifat sementara.

Iklan

"Ya memang kedai boleh buka dan orang akan datang beli raket, pasang tali raket atau beli shuttlecock, tapi jika gelanggang atau dewan tidak boleh buka, tidakkah akan menjejaskan rantaian sektor ini yang menjana pendapatan harian mereka?

"Kita sebagai pengusaha pun takut dan bimbang dengan peningkatan kes Covid-19 tapi janganlah sampai tutup operasi yang semestinya menjejaskan pendapatan secara tidak langsung,” katanya kepada Sukan Sinar pada Jumaat.

Iklan

MKN pada Khamis memutuskan untuk menggantung sementara sektor serta aktiviti sukan dan rekreasi di kawasan PKP bermula Jumaat termasuk semua aktiviti sukan dan rekreasi di premis atau kemudahan komersial, kemudahan awam dan kawasan terbuka.

Menurut Roslin yang juga bekas pemain perseorangan nombor satu negara pada masa sama turut mempersoalkan kebenaran diberikan kepada bazar Ramadan dan Aidilfitri untuk beroperasi manakala pengusaha sukan tidak dibenarkan biarpun masing-masing merupakan peniaga yang disifatkannya tidak berlaku adil.

"Kita ini yang bersukan sudah tentu terang lagi bersuluh nampak penjarakkan fizikalnya, diaorang tu dekat bazar Ramadan dan bazar Aidilfitri yang masuk beramai-ramai itu sah-sah bersesak. Jika nak kata mereka di bazar Ramadan dan bazar Aidilfitri tu peniaga, habis kami pengusaha ini bukan peniaga juga ke?

"Kenapa PKP kali ketiga ini operator sukan di kawasan PKP dilockdown terus tanpa ada sedikit pun kelonggaran atau pengecualian untuk mereka beroperasi mengikut had masa yang dibenarkan seperti sektor ekonomi lain?

"Saya bukan menidakkan arahan MKN dalam melaksanakan penggantungan sementara sektor dan aktiviti sukan serta rekreasi di kawasan PKP tapi janganlah tutup terus. Kita baru sahaja nak bernafas selepas PKP tempoh hari tetiba kena semula PKP.

"Sewajarnya sebelum pelaksanaan PKP ketiga ini harus ada pernambahbaikan untuk pengusaha sektor dan aktiviti sukan serta rekreasi. PKP sebelum ini pun pengusaha mematuhi SOP ditetapkan dengan disiplin tinggi sebagai contoh PKP pertama satu court dua pemain, PKP kedua satu court empat pemain ada kelonggaran di situ tapi apabila datang PKP ketiga tutup terus...,” ujarnya.