Pemilik premis, pengendali makanan di arah ke mahkamah

Iklan
Dr Bahari Tok Muda

KUANTAN - Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) mengambil tindakan mahkamah terhadap pemilik premis dan pengendali makanan yang gagal mematuhi Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009 membabitkan nilai kompaun RM18,000.

Tindakan itu diambil hasil Operasi Ramadan 2021 di seluruh negeri bermula 13 April hingga Jumaat.

Iklan
Iklan

Antara kesalahan yang dikesan termasuk pengendali makanan tidak mengikuti kursus keselamatan makanan, tiada suntikan anti tifoid dan tidak mematuhi kehendak pakaian serta kebersihan diri pengendali makanan.

Pengarah JKNP, Datuk Dr Bahari Tok Muda Awang Ngah berkata, dua premis makanan kotor diarah ditutup mengikut Seksyen 11,Akta Makanan 1985 bagi kerja-kerja pembersihan.

Iklan

Menurutnya sepanjang operasi yang dijalankan Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan JKNP dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah itu, sebanyak 2,042 premis diperiksa melibatkan 2,023 premis makanan dan 19 premis pembekal ais.

"Secara keseluruhannya kita dapati 1,982 atau 97.8 peratus premis tersebut berada pada tahap memuaskan dari aspek amalan kebersihan dengan markah purata tahap amalan kebersihan lebih 80 peratus.

Iklan

"Selain itu, seramai 4,341 pengendali makanan diperiksa dan seramai 3,991 orang atau 91.9 peratus mengambil suntikan anti tifoid manakala 3,778 (87.2 peratus) telah menghadiri kursus keselamatan makanan," katanya melalui satu kenyataan pada Sabtu.

Dr Bahari berkata, operasi itu bertujuan memastikan produk makanan di pasaran selamat dimakan dan mematuhi kehendak Peraturan-Peraturan Makanan 1985, Akta Makanan 1983

Tambah beliau, walaupun dalam suasana pandemik Covid-19 yang menyaksikan ekonomi peniaga terjejas, aspek keselamatan makanan perlu sentiasa dititikberatkan.

"Kita menggesa peniaga sentiasa mematuhi peraturan bagi memastikan keselamatan makanan dan kesihatan orang ramai tidak terjejas," katanya.