KETUA Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail, kesal dengan insiden kes positif Covid-19 dalam kalangan pemain dan pegawai skuad sepak takraw negara.
Ia kerana badan induk itu langsung tidak dimaklumkan mengenai majlis berbuka puasa yang dihadiri pemain dan pegawai berkenaan.
Setakat ini, 11 individu didapati positif selepas menghadiri satu majlis berbuka puasa yang turut dihadiri pimpinan tertinggi Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Sabtu lalu.
"Sudah semestinya kami tidak mendapat apa-apa maklumat mengenai sebarang permohonan untuk mereka menghadiri mana-mana majlis dan ia dilakukan di luar daripada pengetahuan kami," kata Shapawi kepada wartawan Nadi Arena.
"Bagaimanapun, itu soal kedua kerana soal yang pertama adalah untuk memastikan kami dapat mengekang penularan itu kepada pihak lain.
"Langkah paling penting yang kami perlu lakukan adalah memastikan mereka yang dijangkiti itu dijaga sebaik mungkin agar tidak mengalami sebarang gejala dan menjalani kuarantin dengan sebaik mungkin.
"Saya amat berharap agar mereka mematuhi proses kuarantin dengan sepenuhnya dan MSN dan ISN (Institut Sukan Negara) akan memberikan yang terbaik buat mereka sepanjang dikuarantin.
"Apabila kami melonggarkan sedikit kem kuarantin ini agar atlet dapat sedikit kelegaan untuk pulang ke rumah dan sebagainya, inilah situasi yang berlaku apabila peringatan kami diabaikan dan mereka tidak menjaga diri dengan betul dan jangkitan itu berada di luar kawalan kami.
"Jadi, di sinilah kami berasa amat kecewa dengan apa yang berlaku," katanya. - Astro Awani