13 ekor lembu 'naik perahu' seberang Sungai Golok

Iklan
Antara lembu cuba diseludup yang dirampas PGA di pangkalan haram Mek Gombak, Sungai Golok, Rantau Panjang pada Jumaat. (Gambar kecil: Azhari Nusi)

RANTAU PANJANG - Permintaan tinggi terhadap daging lembu menjelang sambutan Aidilfitri menyaksikan aktiviti penyeludupan haiwan berkenaan dari Thailand menerusi Sungai Golok semakin meningkat.

Terbaharu pada Jumaat, Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 Kuantan merampas 13 ekor lembu seludup bernilai RM91,000 dalam serbuan di pangkalan haram Mek Gombak, Sungai Golok di sini.

Iklan
Iklan

Pegawai Pemerintah PGA Batalion 7, Superintendan Azhari Nusi berkata, semasa melakukan penugasan Op Benteng Covid-19 pada Jumaat jam 10.30 malam, sepasukan anggotanya ternampak sekumpulan lelaki sedang mengheret beberapa ekor lembu menggunakan perahu menyeberangi Sungai Golok dari sebelah Thailand ke negara ini.

"Anggota PGA kemudian telah mengekori kumpulan lelaki yang mengheret lembu ke dalam hutan berhampiran," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu.

Iklan

Menurutnya, menyedari kehadiran anggota PGA, kumpulan lelaki yang sebelum itu mengheret lembu bertindak melarikan diri di kawasan semak berhampiran dengan meninggalkan haiwan tersebut.

Beliau berkata, anggota PGA telah berusaha mengejar kumpulan lelaki itu namun gagal.

Iklan

Azhari berkata, pemeriksaan di kawasan semak berhampiran menemui 13 ekor lembu pelbagai warna dan jantina yang dipercayai diseludup dari negara Thailand ke Malaysia.

Katanya, siasatan awal mendapati kesemua lembu seludup dibawa masuk untuk pasaran tempatan.

"Kes disiasat bawah Seksyen (11) (1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia ( MAQIS ) 2011," katanya.