Nelayan dikhuatiri lemas, bot dinaiki terkena panahan petir

Iklan
Seorang nelayan hilang dan dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam sungai apabila bot dinaikinya terkena panahan petir dalam kejadian di muara Sungai Merbok, pagi Sabtu. Gambar hiasan

SUNGAI PETANI - Seorang nelayan hilang dan dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam sungai apabila bot dinaikinya terkena panahan petir dalam kejadian di muara Sungai Merbok dekat sini, pagi Sabtu.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, mangsa dikenali sebagai Mohd Nasir Marzuki, 33, keluar untuk menangkap ikan bersama seorang rakannya iaitu Sobri Hussin, 35, dari Jeti Pengkalan Bakar Arang, dekat sini kira-kira jam 12 tengah malam tadi.

Iklan
Iklan

Katanya, sekitar jam 4 pagi tadi ketika mereka sedang memasang pukat di kawasan muara sungai itu iaitu kira-kira 300 meter dari pantai, bahagian hadapan bot tiba-tiba telah disambar petir menyebabkan mangsa pengsan dan terjatuh ke dalam sungai.

"Rakan mangsa bertindak terjun untuk menyelamatkan mangsa namun arus deras, mangsa hanyut dan tidak dapat diselamatkan...manakala dia pula diselamatkan nelayan yang berada di kawasan itu dan dibawa ke Jeti Bukit Lintang, dekat sini, kira-kira jam 5 pagi tadi,” katanya dalam kenyataan di sini pada Sabtu.

Iklan

Adzli berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 5.30 pagi tadi dan usaha mencari mangsa oleh Pasukan Polis Marin, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia digerakkan ke lokasi kejadian.

"Operasi mencari dan menyelamat dimulakan pada 9 pagi tadi melibatkan lima bot polis, serta beberapa bot pasukan penyelamat yang lain, setakat ini (sehingga 2 petang), mangsa belum ditemukan,” katanya. - Bernama

Iklan