KUALA LUMPUR - Sebanyak 666,495 individu telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin menerusi Program Imunisasi C-19 Kebangsaan setakat semalam.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba menerusi akaun Twitternya pada Sabtu berkata, jumlah itu merupakan sebahagian daripada 1,060,773 individu yang telah menerima dos pertama, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan pemberian dos pertama dan kedua di negara ini sebanyak 1,727,268 dos setakat semalam.
Iklan
Iklan
Menurut infografik dikongsikan beliau, lima negeri yang menerima suntikan dos pertama tertinggi ialah Selangor dengan 144,372 dos, Kuala Lumpur (106,093), Sarawak (102,265), Perak (93,011) dan Johor (90,195).
Setakat semalam 40.9 peratus atau 9,924,276 individu telah mendaftar untuk menerima suntikan vaksin dengan Selangor mencatat jumlah pendaftaran tertinggi sebanyak 2,549,809 individu.
Mengikut perancangan program imunisasi berkenaan, tempoh pelaksanaan fasa pertama pemberian vaksin yang bermula Februari hingga bulan ini melibatkan 500,000 anggota barisan hadapan termasuk petugas kesihatan.
Fasa kedua bermula pada April hingga Ogos pula membabitkan 9.4 juta warga emas, kumpulan rentan dan orang kurang upaya, manakala fasa ketiga yang dijadual pada Mei hingga Februari 2022, melibatkan individu 18 tahun dan ke atas, warganegara dan bukan warganegara dengan sasaran 13.7 juta orang atau lebih. - Bernama
Artikel Berkaitan