Dua beranak dituduh buat laporan palsu

Iklan
Pavithra (kanan) dan ibunya, Mahalakshmy dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ipoh, hari ini atas tuduhan membuat laporan polis palsu.

IPOH - Dua beranak dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ipoh, hari ini, atas tuduhan membuat laporan polis dan memberi keterangan palsu, bulan lalu.

Tertuduh, S Pavithra, 18 dan S Mahalakshmy, 41, masing-masing mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Nurul Hafizah Mohammad Pauzi.

Iklan
Iklan

Pavithra yang menyambut hari jadinya hari ini, dituduh membuat laporan dengan memberikan keterangan kepada pegawai kanan polis berpangkat Inspektor bahawa dia telah diragut dua lelaki yang dikenalinya.

Tertuduh mengetahui laporan yang dibuat itu palsu hingga menyebabkan pegawai tersebut menggunakan kuasa untuk menangkap C C Kenesan,52, dan R Nithyanand, 39.

Iklan

Dia melakukan perbuatan itu di Balai Polis Bercham pada jam 3.53 petang, 19 Januari lalu.

Sementara itu, ibunya, Mahalakshmy pula dituduh memberi keterangan palsu sebagai saksi yang melihat semasa kejadian ragut itu yang menyebabkan pegawai terbabit telah menggunakan kuasa untuk menahan dua lelaki terbabit.

Iklan

Dia melakukan kesalahan itu di Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh pada jam 7.24 malam, hari yang sama.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Qistini Qamarul Abrar yang mengendalikan kes itu mengesyorkan ikat jamin sebanyak RM5,000 terhadap kedua-dua tertuduh.

Bagaimanapun, peguam Robert S Gnanarajan memohon jumlah itu dikurangkan dengan alasan pendapatan kedua-dua mereka bergantung pada upah antara RM25 dan RM30 sehari sebagai pembantu restoran.

Manakala, peguam B P Balakrishna pula dilantik sebagai peguam pemerhati kepada kedua-dua mangsa.

Mahkamah kemudiannya membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM3,000 setiap seorang dengan seorang penjamin dan kes disebut semula pada 8 Mac ini.