SHAH ALAM - Kesesakan trafik di kawasan sebelum Plaza Tol Bentong menghala ke pantai timur pada awal pagi Sabtu merupakan situasi luar biasa, menurut Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).
Menurutnya, selain sekatan jalan raya yang dilakukan polis, waktu hujung minggu juga dipercayai menjadi faktor penyumbang kepada kesesakan tersebut.
Bagaimanapun, katanya, kesesakan di kawasan tersebut didapati kembali pulih selepas trafik menghala ke pantai timur didapati lancar dan terkawal pada jam 3.29 petang.
"Buat masa sekarang, laluan masih perlahan tetapi tidak macam pagi tadi (Sabtu) kerana apa yang berlaku pada waktu itu memang agak luar biasa.
"Kini trafik sebelum keluar Plaza Tol Bentong sesak dalam lebih kurang 200 meter sahaja,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Terdahulu, Bernama melaporkan bahawa jumlah kenderaan meningkat seawal jam 8 pagi menyebabkan kesesakan terutama di kawasan sebelum Plaza Tol Bentong.
Sementara itu, LLM menerusi ciapan Twitter melaporkan kesesakan trafik sepanjang 500 meter di kawasan sebelum keluar Plaza Tol Bentong arah ke Kuantan atau Timur pada 1.35 petang.
LLM pada ciapan yang sama turut memuat naik gambar di Twitter menunjukkan kenderaan berbaris dalam kesesakan lalu lintas di sepanjang jalan berkenaan pada awal petang.
Dalam pada itu, jurucakap LLM turut berkata, kesesakan trafik di kawasan tersebut didapati berlaku sejak dua hari lalu iaitu pada waktu petang antara jam 5 dan 7 petang.
ARTIKEL BERKAITAN: Aliran trafik menuju pantai timur sesak